Menggunakan Teknologi AI Terkini untuk Mendiagnosis Rawatan Kecemasan

10 July 2024

KUALA LUMPUR: Bagi memastikan pesakit dapat dilayan dengan cekap ketika mendapatkan rawatan kecemasan, Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC) telah memperkenalkan teknologi pengimejan ultrasound atau sonografi yang dipertingkatkan dengan kecerdasan buatan (AI).

Penolong pengarah perubatan dan perunding perubatan kecemasan SMC, Dr Nur Elayni Borhan berkata penggunaan teknologi terkini membantu doktor membuat diagnosis dengan lebih cepat dan tepat, terutamanya kepada mangsa serangan jantung dan strok yang dihantar ke jabatan kecemasan.

Beliau berkata ini menekankan kepentingan penyepaduan antara pembangunan profesional dan kemajuan peralatan dalam menambah baik hasil penjagaan kecemasan.

“Seperti jabatan kecemasan di seluruh dunia, doktor kecemasan perlu membuat keputusan yang cepat dan ia menjadi lebih mudah dengan bantuan imej yang tepat dan jelas. Teknologi automatik dan peralatan mudah alih seperti mesin ultrasound AI membolehkan doktor menjimatkan masa dan mendapatkan maklumat yang diperlukan untuk tindakan segera diambil.

"Ia mampu memudahkan proses rumit seperti penilaian trauma dengan menggunakan pengiraan automatik dengan memberi tumpuan kepada tahap keadaan pesakit, contohnya pada jantung dan paru-paru," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata mesin ultrasound AI juga berupaya menyenaraikan kemungkinan situasi yang berlaku kepada pesakit daripada pendarahan dalaman hingga pneumothorax, selain membantu doktor membuat keputusan klinikal yang lebih baik untuk pesakit di jabatan kecemasan.

Secara tidak langsung, beliau berkata ia juga dapat mengurangkan masa menunggu untuk menerima rawatan segera.

Pada masa yang sama, Dr Nur Elayni berkata latihan berterusan juga memainkan peranan penting dalam memastikan kakitangan di jabatan kecemasan sentiasa mahir dengan amalan perubatan terkini.

“Pegawai perubatan dan jururawat kami sering menyertai Pendidikan Perubatan Berterusan (CME), kursus sokongan hayat dan persidangan perubatan di dalam dan luar negara bagi memastikan mereka sentiasa mengikuti perkembangan semasa,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menekankan kepentingan mengetahui cara melakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR) iaitu teknik menyelamatkan nyawa yang dilakukan semasa kecemasan apabila degupan jantung atau pernafasan berhenti.

“Lengkapkan diri anda dengan pengetahuan asas tentang pertolongan cemas kerana ia dapat menyelamatkan nyawa orang tersayang,” nasihatnya.

Sumber: Tribune Sarawak Baharu

   Kembali