Merawat Asma dalam Kalangan Kanak-kanak

09 January 2021

Asma berlaku disebabkan oleh penyempitan saluran pernafasan di mana terdapat keradangan dan lendir dalam bentuk kahak. Asma disebabkan oleh persekitaran yang tidak bersih dan tercemar serta pendedahan kepada asap rokok. Secara purata, 10% kanak-kanak di Malaysia menghidap asma dan lazimnya berlaku di kalangan 40% kanak-kanak yang mengalami alahan hidung.

Pencegahan atau kawalan asma tidak seharusnya bergantung kepada ubat-ubatan sahaja, tetapi pencegahan daripada faktor persekitaran yang mencetuskan serangan asma berulang.

“Kanak-kanak yang menghidap asma harus menjauhi asap rokok, habuk, pencemaran, hama dan bulu kucing,” kata Pakar Perunding Pediatrik dan Doktor Pernafasan Pediatrik Pusat Perubatan Sunway, Dr Norzila Mohamed Zainudin .

Terdapat dua jenis rawatan untuk asma, iaitu untuk melegakan dan mencegah. Rawatan untuk melegakan diberikan melalui nebulizer atau inhaler, manakala ubat pencegahan membantu mengurangkan keradangan dan kahak bagi mengurangkan kekerapan serangan asma yang teruk. Ubat pencegahan perlu diberikan secara berterusan selama sekurang-kurangnya enam bulan dengan pemantauan berkala.

Dr Norzila menasihatkan ibu bapa untuk mengetahui dan memantau keadaan kesihatan anak mereka terutamanya kekerapan serangan asma. Jika kanak-kanak mengalami simptom seperti batuk berpanjangan, penyempitan dada dan kesukaran bernafas hampir setiap hari, dia mungkin menghidap asma akut.

"Bukan perkara biasa bagi kanak-kanak untuk mengalami serangan asma sekali atau beberapa kali sebulan. Jika ini berlaku, kanak-kanak itu akan memerlukan rawatan lanjut," tambahnya.

Sumber: Berita Harian

   Kembali