Bahaya Hepatitis
31 July 2022

Ramai di antara kita tidak menyedari tentang hepatitis kerana kebanyakan daripada kita beranggapan ia berkaitan dengan HIV. Malah, bukan itu sahaja. Sempena Hari Hepatitis Sedunia, SinarPlus memberi penerangan tentang penyakit ini.
Hepatitis ialah penyakit radang hati yang disebabkan oleh virus berjangkit atau tidak berjangkit, yang boleh menyebabkan banyak masalah kesihatan dan lebih teruk lagi, kematian. Terdapat lima jenis hepatitis yang disebabkan oleh virus, iaitu A, B, C, D dan E. Setiap satu berbeza dari segi kaedah jangkitan, tahap keterukan dan pencegahan.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih daripada 354 juta orang hidup dengan hepatitis B dan C kronik di dunia dan melalui Strategi Hepatitis Globalnya, organisasi ini berusaha untuk mengurangkan jangkitan sebanyak 90% dan kematian sebanyak 65% dari tahun 2016 hingga 2030.
Sementara itu, Perpustakaan Perubatan Negara di AS melaporkan kira-kira 4,067 kes hepatitis virus pada tahun 2000. Daripada jumlah itu, kira-kira 497 kes adalah hepatitis A, 2,863 disebabkan oleh hepatitis B dan 550 kes disebabkan oleh hepatitis C.
Di Malaysia, Kementerian Kesihatan menganggarkan lebih 500,000 rakyat Malaysia menghidap hepatitis C tetapi mereka tidak menyedarinya.
Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), ramai yang menghidap hepatitis tidak menunjukkan sebarang gejala. Malah, lebih membimbangkan ialah pesakit tidak tahu bahawa mereka dijangkiti. Sesetengah kes hepatitis kronik juga mengambil masa yang lama untuk berkembang.
Menyentuh mengenai komplikasi tersebut, Pakar Gastroenterologi dan Hepatologi, Pusat Perubatan Sunway, Dr Sheikh Anwar Abdullah berkata, hepatitis kritikal dan kronik yang berlarutan lebih daripada enam bulan berpotensi menyebabkan kerosakan pada hati.
"Lama-lamanya hati akan bertukar menjadi tisu fibrotik dan meninggalkan parut pada hati yang dipanggil sirosis hati," jelasnya.
Antara tanda-tandanya ialah perut bengkak, mudah lebam, tingkah laku dan sensitiviti boleh berubah, muntah darah dan najis hitam.
Dr Sheikh Anwar berkata apabila hati tidak dapat mengekalkan fungsinya dan komplikasinya bertambah buruk, pemindahan hati diperlukan agar individu tersebut dapat terus hidup.
Beliau menambah bahawa hepatitis A boleh sembuh sendiri tanpa vaksin dan bergantung kepada sistem imun seseorang. CDC mengesyorkan vaksin hepatitis A diberikan kepada kanak-kanak berumur satu tahun ke atas yang tidak menerima vaksinasi kanak-kanak dan bayi berumur enam hingga 11 bulan termasuk orang dewasa yang melancong ke negara-negara yang mempunyai peratusan kes hepatitis A yang tinggi.
Sumber: Sinar Harian
Kembali

