Menyokong Wanita Melalui Fasa Menopaus

14 January 2022

Menopaus masih merupakan subjek tabu yang dianggap sensitif oleh wanita untuk dibincangkan secara terbuka. Tetapi realitinya, semua orang tanpa mengira jantina perlu tahu apa itu menopaus untuk menyokong wanita yang sedang melalui fasa tersebut secara mental dan emosi.

Menopaus adalah apabila kitaran haid wanita berhenti dan didiagnosis pada mereka yang tidak datang haid selama 12 bulan berturut-turut. Antara tanda-tanda awal menopaus ialah rasa panas badan, kekeringan faraj, ketidakselesaan semasa hubungan seks dan penurunan keinginan seksual, kata Dr Thangesweran Ayakannu , Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Pakar Sakit Puan Onkologi dan Pakar Bedah Robotik di Pusat Perubatan Sunway.

Selain itu, wanita juga mengalami perubahan mood, masalah tidur, kulit kering, rambut menipis, pertambahan berat badan, metabolisme perlahan dan jangkitan saluran kencing.

Menopaus berlaku apabila seorang wanita berumur antara 45 dan 55 tahun, dan tanda-tanda pertama akan dialami pada pertengahan hingga akhir 40-an. Purata umur wanita mengalami menopaus adalah antara 50 dan 51 tahun.

Walau bagaimanapun, terdapat kemungkinan wanita yang lebih muda mengalami menopaus lebih awal.

"Menopaus pramatang berlaku sebelum usia 40 tahun disebabkan oleh kegagalan ovari untuk berovulasi secara teratur, menyebabkan hormon tidak dihasilkan. Walau bagaimanapun, hanya 1% wanita di bawah umur 40 tahun mengalaminya. Ia biasanya berlaku disebabkan oleh kes terpencil seperti penggunaan ubat untuk tujuan perubatan.

"Sebab-sebab mengapa menopaus pramatang berlaku adalah disebabkan oleh pembedahan pembuangan ovari, pembedahan pembuangan rahim, kesan sampingan kemoterapi dan radioterapi, penyakit autoimun dan sebagainya," kata Dr Thangesweran.

Mungkin ramai yang masih tidak menyedari tetapi menopaus merupakan salah satu fasa paling sukar dalam kehidupan seorang wanita disebabkan oleh perubahan mental, fizikal dan kesihatan. Gejala menopaus boleh memberi kesan yang mendalam terhadap gaya hidupnya.

“Menopaus merupakan perubahan fisiologi semula jadi yang berlaku seiring dengan proses penuaan. Ramai wanita tertanya-tanya berapa lama simptom mereka akan berlarutan dan secara amnya, ia boleh berlarutan antara 5 dan 10 tahun. Walau bagaimanapun, ia berbeza bagi setiap wanita dan simptom yang dialami juga berbeza antara satu sama lain. Contohnya, rasa panas badan biasanya berlaku 1 hingga 2 tahun tetapi boleh berlarutan selama 10 tahun atau lebih bagi sesetengah wanita,” jelas Dr Thangesweran.

Beliau menggalakkan wanita yang mengalami simptom menopaus yang teruk untuk mendapatkan bantuan. Beliau juga percaya adalah penting bagi ahli keluarga untuk membantu mereka mengatasinya.

“Adalah penting untuk berkomunikasi, belajar dan memahami tentang menopaus. Cara terbaik untuk mengetahui keperluan isteri atau ahli keluarga anda adalah dengan bercakap dengannya dan bertanya kepadanya bagaimana anda boleh membantu mengharungi fasa itu,” katanya, sambil menambah bahawa mengamalkan gaya hidup sihat dapat membantu melambatkan proses menopaus.

Sumber: Kosmo 

   Kembali