Sunway Medical Centre Diiktiraf Sebagai Hospital Pintar Malaysia 2021

17 July 2021

Anugerah Amalan Terbaik Frost & Sullivan Asia Pasifik yang berprestij merupakan anugerah yang mengiktiraf syarikat-syarikat dalam pelbagai pasaran serantau dan global atas pencapaian cemerlang dan prestasi unggul dalam bidang seperti kepimpinan, inovasi teknologi, khidmat pelanggan dan pembangunan produk strategik.

Kejayaan Pusat Perubatan Sunway dalam memperoleh pengiktirafan itu baru-baru ini secara tidak langsung telah meningkatkan reputasinya dan menobatkannya sebagai antara yang terbaik di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif, Pusat Perubatan Sunway, Bryan Lin, berkata pengiktirafan itu merupakan usaha kolektif pasukan hospital tersebut.

"Kami sentiasa komited untuk memajukan pendigitalan bagi terus meningkatkan kecekapan operasi di samping mempertingkatkan pengalaman pesakit.

"Kami menyedari bahawa teknologi memainkan peranan penting dalam keperluan penjagaan kesihatan yang sentiasa berubah, terutamanya untuk memenuhi tuntutan abad ke-21," katanya.

Penganalisis Frost & Sullivan, Siddharth Shah, Pengurus Penyelidikan Penjagaan Kesihatan & Sains Hayat berkata inisiatif pintar yang disediakan oleh Pusat Perubatan Sunway memenuhi tiga ciri utama, iaitu kecekapan operasi, kecemerlangan klinikal dan berpusatkan pesakit.

"Pusat Perubatan Sunway secara konsisten telah menerima pakai inisiatif baharu, mengiktiraf kepentingan hospital pintar dan memastikan kepuasan doktor, kakitangan dan pesakit," katanya.

Antaranya ialah penggunaan Nemuri SCAN untuk wad. Teknologi ini mempunyai sistem penggera pencegahan jatuh terbina dalam di katil hospital dengan sensor pesakit bebas sentuhan yang mengukur tidur, jantung dan kadar pernafasan pesakit secara berterusan. Ini membolehkan pasukan penjagaan kesihatan menyediakan penjagaan tepat pada masanya sambil mengoptimumkan kecekapan dan keselamatan.

Hospital ini juga aktif menawarkan kemudahan berteknologi tinggi kepada pesakit. Pusat Kanser Sunway berbangga dalam menyediakan kemudahan radioterapi canggih dengan Elekta Leksell Gamma Knife ICON.

Ia adalah untuk rawatan radiasi lanjutan untuk pelbagai keadaan neurologi. Mesin bukan invasif ini memancarkan pancaran radiasi dos tinggi ke sasarannya dan menyebabkan sedikit atau tiada kerosakan pada tisu di sekelilingnya.

Sementara itu, bagi menangani pandemik COVID-19, pihak hospital telah mengambil beberapa langkah proaktif.

Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama tahun lepas, hospital tersebut telah bekerjasama dengan Sunway iLabs untuk membina Pod Ujian COVID-19 tanpa sentuh.

Teknologi ini membolehkan petugas kesihatan menjalankan ujian untuk kes yang disyaki dalam persekitaran yang lebih selamat dan mengurangkan risiko jangkitan. Ia juga mengurangkan penggunaan peralatan pelindung diri (PPE) yang kekurangan bekalan di seluruh dunia pada masa itu.

Hospital itu juga merupakan antara penyedia penjagaan kesihatan terawal yang menggunakan telekonsultasi semasa PKP tahun lepas, yang membolehkan pesakit terus berunding dengan doktor dari rumah.

Dengan peningkatan permintaan semasa penjarakan sosial, ini akhirnya membawa kepada penubuhan Pusat Komando Teleperubatan 24 jam pertama di negara ini, yang dilancarkan pada Januari tahun ini.

Ia memerlukan visi bersama dan usaha sama untuk merealisasikan sistem penjagaan kesihatan digital moden, yang mana Pusat Perubatan Sunway berhasrat untuk berada di barisan hadapan di Malaysia.

Sumber: Berita Harian

   Kembali