Sunway Medical Centre Merupakan Perintis Pembedahan Penggantian Sendi Berbantukan Robot di Negara Ini
17 July 2022

Hospital pintar terkemuka negara, Sunway Medical Centre terus menerajui sektor perubatan apabila ia menjadi hospital pertama yang berjaya menjalankan pembedahan penggantian sendi dengan bantuan robot.
Ia menggunakan dua sistem robotik canggih, iaitu Mako SmartRobotics dan ROSA Knee System, yang menyediakan model tiga dimensi (3D) hasil imbasan CT yang dibuat khusus pada pesakit untuk menggantikan pinggul atau lutut.
Perunding Pakar Bedah Ortopedik dan Artroplasti Pusat Perubatan Sunway, Dr Chua Hwa Sen berkata teknologi itu membolehkan pakar bedah merancang prosedur terlebih dahulu serta memberikan pelbagai manfaat kepada pesakit.
“Perancangan awal membolehkan pembedahan penggantian sendi dilakukan dengan tepat dan selamat di samping memberikan pesakit pengalaman pembedahan unik yang disesuaikan dengan keperluan anatomi mereka.
"Ketepatan ini juga membolehkan pesakit mengalami kurang kesakitan selepas pembedahan dan dapat pulih dengan lebih cepat, termasuk pengurangan ubat tahan sakit dan fisioterapi.
"(Penggantian) sendi yang dimasukkan juga boleh bertahan lebih lama," katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Konvensyen SunMed, Pusat Perubatan Sunway baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Dr Chua menambah, mobiliti dan keupayaan seseorang untuk menjalani kehidupan seharian mereka secara berdikari juga boleh dicapai di samping meningkatkan kualiti hidup.

Sementara itu, Pakar Perunding Ortopedik, Artroplasti dan Trauma Pusat Perubatan Sunway, Dr Suhail Suresh Abdullah berkata teknologi pintar dan adaptif itu juga membolehkan ketepatan dan penjajaran yang tinggi diperoleh dengan mudah berbanding prosedur konvensional.
“Apabila menggunakan kaedah robotik ini, kami (pakar bedah) tidak perlu membuka atau memotong terlalu banyak tisu. Ini membolehkan pembedahan dilakukan dengan cepat dan pantas. Kaedah ini juga membolehkan pakar bedah mendapatkan penjajaran dalam pembedahan dengan betul dan lebih mudah.
"Ketepatan pembedahan ini juga akan mengurangkan pelbagai kos kepada pesakit yang melibatkan bilangan hari pesakit dimasukkan ke hospital dan pembedahan berulang," katanya.
Ini jelas membuktikan bahawa pembedahan dengan bantuan robot yang dipelopori oleh Pusat Perubatan Sunway adalah lebih selamat, cekap, kurang menyakitkan dan memberikan hasil yang lebih baik selepas pembedahan.
Sumber: Astro Awani
Kembali

