Sunway Medical Centre - Hospital Swasta Pertama Membuka Jabatan Kecemasan Kanak-kanak
20 May 2023

KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway merupakan hospital swasta pertama di Malaysia yang membuka Jabatan Kecemasan Kanak-kanak yang mula beroperasi pada Khamis lalu.
Dalam satu kenyataan hari ini, Pusat Perubatan Sunway (SMC) memaklumkan bahawa jabatan yang terletak di Menara D yang baru dibuka itu merupakan pusat sehenti bagi memenuhi keperluan penjagaan kesihatan bayi, kanak-kanak dan remaja.
Menurut ketua Jabatan Kemalangan dan Kecemasan, Dr Lee Soon Han , jabatan itu mempunyai tiga zon iaitu hijau, kuning dan merah, untuk menyediakan penjagaan dan rawatan khusus.
"Kami mempunyai dua bilik khas untuk kanak-kanak yang menghidap asma yang memerlukan penggunaan nebuliser di mana mereka boleh dipantau dengan teliti. Zon merah dilengkapi dengan peralatan perubatan terkini dan tercanggih untuk resusitasi dan pemantauan rapi.
"Kami gembira kerana dapat melayani pesakit pertama kami semalam. Dengan jabatan kecemasan khas untuk kanak-kanak ini, kami dapat memberikan kecemerlangan klinikal dan meningkatkan kecekapan operasi serta kualiti perkhidmatan kami," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, ketua Unit Pediatrik SMC, Dr Tan Teong Yong berkata pasukan doktor dan jururawat pediatrik hospital mempunyai pengalaman luas dan terlatih dalam pelbagai sub-kepakaran untuk menyediakan perkhidmatan yang cekap dan berkesan kepada pesakit kanak-kanak di jabatan itu.
"Pesakit kami dapat mengakses rangkaian perkhidmatan yang luas dengan mudah dalam satu kawasan kerana Menara D dilengkapi dengan kemudahan komprehensif yang lain.
"Jabatan Radiologi yang terletak bersebelahan dengan Jabatan Kecemasan Kanak-kanak dilengkapi dengan pengimbas CT terkini, kemudahan sinar-X am dan perkhidmatan ultrasound, manakala perkhidmatan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) 3 Tesla terkini disediakan di tingkat satu," katanya.
Di samping itu, ketua pegawai eksekutif SMC, Dr Seow Vei Ken , berkata sebagai hospital kuaternari swasta terbesar di Malaysia, pihak pengurusan sentiasa mencari kaedah inovatif untuk meningkatkan pengalaman pesakit dengan menjadikan keselesaan dan kesejahteraan mereka sebagai keutamaan.
"Jabatan Kecemasan Kanak-kanak ini adalah sebahagian daripada usaha kami untuk menyediakan rawatan khusus kepada kanak-kanak yang memerlukan perhatian segera dan lebih teliti," katanya.
“Klinik pediatrik juga akan ditempatkan di menara bersebelahan Pusat Perkembangan Kanak-kanak yang akan beroperasi tidak lama lagi,” katanya sambil menambah wad kanak-kanak, unit rawatan rapi (ICU) pediatrik dan unit pergantungan tinggi (HDU) akan ditempatkan di Menara E yang akan dibuka secara berperingkat tidak lama lagi.
Beliau berkata SMC bersedia untuk menetapkan piawaian perkhidmatan baharu bagi mengubah landskap penjagaan kesihatan di Malaysia dan bilangan katilnya akan ditambah daripada 616 kepada lebih 1,000 manakala perkhidmatan klinikalnya akan diperluaskan lagi.
Sumber: BERNAMA


