Sunway Medical Centre Memberikan Dos Penggalak COVID-19 untuk Warga Emas
28 November 2021

Pusat Perubatan Sunway telah mula memberikan suntikan penggalak Covid-19 bagi menyokong Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19 (PICK). Kira-kira 1,000 warga emas berumur 85 hingga 100 tahun dijangka mendapat suntikan penggalak mereka di hospital.
“Kami teruja menjadi salah satu pusat vaksinasi pertama yang menjadi sebahagian daripada program dos penggalak Covid-19 di Lembah Klang. Sungguh menggembirakan melihat pusat vaksinasi kami yang sibuk dengan warga emas yang secara sukarela tampil ke hadapan untuk suntikan penggalak mereka,” kata Dr Seow Vei Ken, pengarah perubatan Pusat Perubatan Sunway.
“Ini merupakan langkah yang sangat dinanti-nantikan bagi memastikan tahap perlindungan optimum untuk penerima vaksin Covid-19 di Malaysia. Pada ketika ini, hanya vaksin Pfizer Comirnaty sahaja yang diluluskan untuk penggalak tersebut,” tambahnya.
Soo Xi Quan membawa neneknya yang berusia 91 tahun, Saw Siew Har untuk menerima suntikan penggalaknya selepas menerima pemberitahuan melalui aplikasi MySejahtera. “Dia gembira dapat menerima suntikan penggalak kerana dia tidak sabar untuk melancong lagi bersama kami. Kami juga teruja kerana dapat membawanya keluar dengan mengambil kira keselamatannya,” kata Soo, sambil menambah bahawa neneknya sebelum ini telah divaksin dengan Sinovac.
Pusat Perubatan Sunway merupakan Zon Pemberian Vaksin (ZPV) dalam Fasa Satu PICK, yang memberi vaksin kepada petugas barisan hadapan dari 12 hospital swasta di seluruh Lembah Klang.
Dalam Fasa Dua dan Tiga program ini, hospital tersebut telah dilantik sebagai Pusat Pemberian Vaksin Hospital Swasta (PPVHS) dan turut menguruskan pusat vaksinasi mega (PPV) di Pusat Konvensyen Sunway untuk menyuntik orang ramai.
Pada 11 Oktober 2021, hospital tersebut mula memberi vaksin kepada remaja berumur 12 hingga 19 tahun. Hospital tersebut kini sedang memberikan vaksinasi Covid-19 secara serentak untuk remaja dan suntikan penggalak untuk warga emas.
Sehingga kini, Pusat Perubatan Sunway telah memberikan lebih daripada 350,000 dos.
Sunway secara keseluruhannya telah menyumbang hampir RM60 juta sejak Mac 2020 untuk membantu negara memerangi pandemik Covid-19, dan akan terus berkhidmat untuk Malaysia dalam kapasiti ini.
Sumber: Kod Biru
Kembali

