Karnival SunMed Mempromosikan Kesejahteraan Melalui Keseronokan

03 October 2023

 

Pusat Perubatan Sunway (SMC) baru-baru ini memperkenalkan aspek baharu dalam penjagaan kesihatan dengan Karnival SunMed, platform untuk merapatkan hubungan antara ahli komuniti, profesional penjagaan kesihatan dan kanak-kanak dari semua peringkat umur.

SMC dalam satu kenyataan berkata acara kesihatan komuniti itu merupakan bukti bahawa hospital boleh menjadi lebih daripada sekadar tempat untuk rawatan, malah ia juga boleh menjadi hab pembelajaran dan perkongsian ilmu yang menyeronokkan.

Dalam kenyataan itu, ketua pegawai eksekutif SMC Sunway City, Dr Seow Vei Ken berkata penjagaan kesihatan harus melangkaui sekadar merawat penyakit.

“Dengan menggabungkan pengetahuan perubatan dengan keterujaan, Karnival SunMed menunjukkan komitmen hospital untuk melaksanakan pencegahan, pendidikan dan pemerkasaan ke arah gaya hidup dan kesejahteraan yang sihat. Ia menghangatkan hati kami untuk menyaksikan penglibatan bersemangat komuniti dan golongan muda kami,” katanya.

Dihadiri oleh lebih 1,900 orang, Karnival SunMed menampilkan pelbagai aktiviti pendidikan mesra keluarga yang disesuaikan untuk kanak-kanak, memperkenalkan mereka kepada dunia penjagaan kesihatan.

SMC berkata ia juga merupakan kesempatan untuk mempamerkan Menara D baharu yang merupakan pusat sehenti hospital yang direka untuk memenuhi keperluan penjagaan kesihatan bayi, kanak-kanak dan remaja.

Menara baharu ini menempatkan Kecemasan Kanak-kanak – jabatan kecemasan pertama di hospital swasta di Malaysia yang dikhaskan khusus untuk kanak-kanak di bawah umur 12 tahun, sekali gus menggariskan komitmen hospital terhadap penjagaan kesihatan yang komprehensif untuk seisi keluarga, katanya.

Menurut kenyataan itu, salah satu tarikan utama di karnival itu ialah lawatan ambulans yang membuatkan kanak-kanak terbeliak mata dengan kagum ketika mereka menaiki kenderaan menyelamatkan nyawa itu, dan pada masa yang sama mempelajari tentang peranan menyelamatkan nyawa yang dimainkan oleh ambulans dan paramedik dalam penjagaan pesakit.

Ia menyatakan tarikan lain termasuk bengkel seni dan kraf, pertandingan mewarna dan permainan pendidikan seperti pencarian kit pertolongan cemas untuk membantu kanak-kanak memperoleh kemahiran bagi menangani kecederaan biasa dan perlawanan organ badan di mana kanak-kanak menemui sistem tubuh manusia yang luar biasa.

Para hadirin juga mempunyai akses ke gerai yang menawarkan pemeriksaan kesihatan dan mata, ujian pertuturan dan pendengaran, penilaian tulang belakang dan nasihat pakar diet tentang pemakanan sihat, katanya.

Melalui karnival ini, SMC berkata ia bertujuan untuk memupuk komuniti dan pemerkasaan yang akan memberi inspirasi kepada semua orang untuk menjalani gaya hidup yang lebih sihat.

"Selain semangat perayaan, karnival ini mempamerkan kuasa pendidikan penjagaan kesihatan apabila digabungkan dengan kegembiraan pembelajaran dan semangat komuniti, menerajui jalan untuk hospital sebagai pusat kesejahteraan dan pendidikan komuniti. Ia merupakan bukti bahawa, kadangkala, ketawa benar-benar muncul sebagai ubat yang paling mujarab," menurut kenyataan itu.

Sumber: Warta Berita Asean

   Kembali