Berdengkur dalam Kalangan Kanak-kanak Adalah Tidak Normal

09 October 2020

Ramai orang beranggapan bahawa kanak-kanak berdengkur semasa tidur adalah kerana mereka mendapat tidur yang lena selepas seharian yang dipenuhi dengan aktiviti.

Malah, sesetengah ibu bapa merasakan bahawa situasi itu adalah perkara biasa dan tidak membimbangkan – tetapi hakikatnya berdengkur dalam kalangan kanak-kanak bukanlah perkara biasa.

Kajian menunjukkan bahawa berdengkur berlaku dalam kalangan 12% kanak-kanak di seluruh dunia berumur antara satu hingga sembilan tahun, dan boleh mengganggu tingkah laku mereka.

Pakar Perunding Pediatrik dan Pediatrik Pernafasan Pusat Perubatan Sunway, Dr Norzila Mohamed Zainudin berkata masalah itu berlaku disebabkan oleh beberapa faktor, iaitu apabila saluran pernafasan menjadi sempit semasa tidur.

"Berdengkur dalam kalangan kanak-kanak bukanlah perkara biasa. Ia mungkin berlaku disebabkan oleh apnea tidur yang boleh menjejaskan bukan sahaja kesihatan kanak-kanak tetapi juga proses tumbesarannya.

"Adalah perkara biasa bagi saluran pernafasan untuk menyempit semasa tidur selagi ia tidak mengganggu tidur. Walau bagaimanapun, penyempitan yang ketara boleh menyebabkan apnea tidur.

"Itulah sebabnya kanak-kanak berdengkur dan tercungap-cungap semasa tidur," katanya.

Kanak-kanak biasanya terjaga daripada tidur apabila penyempitan yang melampau berlaku, menyebabkan tahap oksigen menurun kerana udara tidak dapat masuk.

“Kemoreseptor atau sel rangsangan dalam badan mengesan penurunan tahap oksigen dalam darah, menyebabkan kanak-kanak itu bangun untuk bernafas dan dengan itu membolehkan tahap oksigen kembali normal.

“Dalam sesetengah kes, kanak-kanak akan terjaga berkali-kali disebabkan oleh penurunan paras oksigen dalam darah. Ini menyebabkan tidur kanak-kanak terganggu, menyebabkan mereka berasa mengantuk pada waktu pagi dan tidak cukup tidur,” jelasnya.

Tonsil, obesiti antara punca berdengkur

Dr Norzila menjelaskan bahawa punca berdengkur dalam kalangan kanak-kanak adalah disebabkan oleh tiga perkara iaitu bengkak tonsil dan adenoid yang menyebabkan mereka sukar bernafas melalui hidung.

Ini adalah punca biasa berdengkur selain pembentukan muka sejak lahir yang boleh menyebabkan saluran pernafasan menjadi lebih kecil.

“Kita biasanya dapat melihat pembentukan muka yang tidak sekata dan kecil ini pada kanak-kanak Sindrom Down. Muka mereka yang kecil di bahagian dagu atau rahang atas menyebabkan ruang rongga pernafasan atas menjadi sempit, menyebabkan mereka berdengkur dan mengalami apnea tidur.

Obesiti juga merupakan punca apnea tidur di mana tisu lemak menyempitkan saluran pernafasan. Dengkur kemudiannya disebabkan oleh getaran dalam tisu.

Hiperaktif, kesukaran untuk fokus akibat tidur yang terganggu

Jelasnya, berdengkur dalam kalangan kanak-kanak tidak boleh dibiarkan begitu sahaja kerana ia menyebabkan kanak-kanak berasa letih dan lesu akibat kerap terjaga.

"Ini menjejaskan keupayaan kognitif mereka dan seterusnya menjejaskan pelajaran mereka," katanya.

Ibu bapa harus sedar bahawa kekurangan tidur pada usia muda ini mempengaruhi keupayaan kanak-kanak untuk menumpukan perhatian, yang boleh bertukar menjadi hiperaktif untuk melawan rasa mengantuk serta mudah marah.

Berdengkur boleh dirawat

Dr Norzila menjelaskan bahawa jika berdengkur berlaku disebabkan oleh masalah tonsil dan adenoid yang besar, ia boleh dirawat dengan membuang tisu-tisu ini melalui pembedahan.

Masalah apnea tidur biasanya diselesaikan selepas pembedahan. Walau bagaimanapun, dalam kes yang disebabkan oleh obesiti atau keabnormalan muka kranial, pesakit mungkin memerlukan rawatan Tekanan Saluran Udara Positif Berterusan (CPAP).

Mesin ini memberikan tekanan positif semasa tidur, di mana tekanan tersebut membuka saluran pernafasan dan menghalang saluran pernafasan daripada menyempit atau 'runtuh'.

Ibu bapa harus memberi perhatian kepada anak-anak mereka apabila mereka melihat sebarang perubahan pada anak-anak mereka.

"Apabila dengkur kanak-kanak tidak berhenti dan kerap berlaku, jangan anggap ia normal dan dapatkan pemeriksaan segera kerana ia boleh menimbulkan risiko kepada kesihatan fizikal dan mental kanak-kanak itu," kata Dr Norzila.

Sumber: mStar

   Kembali