SMC Berada di Kedudukan Teratas bagi Perkhidmatan Pediatrik di Malaysia, ke-28 di Asia Pasifik

08 June 2023

KUALA LUMPUR, 8 Jun (Bernama) -- Pusat Perubatan Sunway (SMC), Bandar Sunway berada di kedudukan teratas untuk perkhidmatan pediatrik di Malaysia, menurut ranking Hospital Khusus Terbaik Asia Pasifik Newsweek 2023.

SMC dalam satu kenyataan hari ini menyebut bahawa hospital itu berada di kedudukan ke-28 untuk pediatrik di Asia Pasifik, dan juga berada dalam kedudukan 75 hospital teratas dalam Neurologi, Kardiologi dan Onkologi. 

Presiden Sunway Healthcare Group, Datuk Lau Beng Long, dalam kenyataan itu berkata kedudukan itu merupakan jaminan bahawa hospital itu sedang menuju ke arah yang betul, terutamanya berkaitan perkhidmatan pediatrik mereka.

“Kami baru sahaja membuka Menara D dan Menara E yang menempatkan pusat kecemerlangan Kanak-kanak dan Wanita kami, dan juga Kecemasan Kanak-kanak khusus pertama di negara ini di kalangan hospital swasta. Pusat sehenti ini yang memenuhi keperluan penjagaan kesihatan bayi, kanak-kanak dan remaja disokong oleh hampir 40 pakar pediatrik dalam 22 subkepakaran pediatrik,” katanya. 

Menurut kenyataan itu, SMC merupakan hospital kuaternari swasta terbesar setakat ini di negara ini, dengan 724 katil berlesen.

“Newsweek dan Statista menjemput lebih 8,000 pakar perubatan – termasuk doktor, pengurus hospital dan profesional penjagaan kesihatan lain (contohnya jururawat) – untuk menyertai tinjauan dalam talian yang membolehkan mereka mengesyorkan dan menilai pelbagai hospital dalam pengkhususan masing-masing,” kata kenyataan itu. 

Kedudukan Hospital Khusus Terbaik Asia Pasifik 2023 mengenal pasti dan memberi penghormatan kepada hospital-hospital terbaik di rantau Asia-Pasifik yang mengkhusus dalam Kardiologi, Endokrinologi, Neurologi, Onkologi, Ortopedik dan Pediatrik dan anugerah ini mengiktiraf hospital-hospital terbaik di sembilan negara dan wilayah, iaitu Australia, India, Indonesia, Jepun, Malaysia, Singapura, Korea Selatan, Taiwan dan Thailand.

Sumber:  BERNAMA 

   Kembali