SMC Bekerjasama dengan Samsung Malaysia untuk Program Kesejahteraan 'Time to Move'
17 October 2024
KUALA LUMPUR, 17 Okt -- Pusat Perubatan Sunway (SMC), dengan kerjasama Samsung Malaysia Electronics, telah melancarkan 'Time to Move', program kesejahteraan 90 hari untuk membimbing peserta dalam perjalanan kesihatan holistik.
Ketua Pegawai Eksekutif SMC, Dr Seow Vei Ken berkata program yang bermula dengan pemeriksaan badan dan diakhiri dengan penilaian akhir itu memperkasakan peserta untuk menjaga kesejahteraan mereka dengan menyediakan alat, panduan profesional dan sokongan yang konsisten selama 90 hari, bagi memastikan peningkatan kesihatan yang berpanjangan.
“Program Time to Move mencerminkan komitmen kami terhadap kesejahteraan holistik, bermula dengan pemeriksaan badan awal untuk membantu peserta memahami kedudukan mereka, dan berakhir dengan penilaian akhir yang menunjukkan sejauh mana mereka telah maju.
"Ia bukan sekadar mengetahui angka anda pada mulanya, tetapi tentang membuat perubahan sebenar dalam tempoh 90 hari untuk menjadi versi diri anda yang lebih sihat," katanya, sambil menambah bahawa program itu telah menerima lebih 200 pendaftaran sejak 3 Oktober.
Beliau juga berkata bahawa program ini diwujudkan untuk individu berumur 18 tahun ke atas yang ingin meningkatkan kesihatan mereka dan tidak mengambil sebarang ubat.
Dr Seow memberikan ringkasan program tersebut, dengan menyatakan bahawa para peserta akan bermula dengan saringan kesihatan yang komprehensif di Sunway Wellness Centre, termasuk ujian Inbody dan ujian darah untuk menentukan metrik kesihatan utama dan akan mengambil bahagian dalam beberapa siri cabaran kecergasan yang menarik serta ceramah kesihatan oleh profesional penjagaan kesihatan, sepanjang bulan-bulan berikutnya.
“Enam puluh peserta (daripada 200 pendaftaran) telah dipilih untuk memulakan perjalanan yang mengujakan ini. Peserta yang terpilih akan menerima Samsung Galaxy Watch7 untuk menjejaki aktiviti harian, memantau kalori yang dibakar, komposisi badan dan mengukur kualiti tidur.
"Cabaran bulanan yang memberi tumpuan kepada aktiviti fizikal dan skor tidur akan memastikan peserta bermotivasi, manakala profesional penjagaan kesihatan akan memberikan pandangan dan panduan berkala berdasarkan kemajuan mereka," tambahnya.
Selain cabaran fizikal, program ini merangkumi sesi senaman berkumpulan yang diketuai oleh pakar, bagi memastikan peserta kekal bermotivasi dan terlibat sepanjang perjalanan mereka, katanya, sambil menyatakan bahawa peserta akan menjalani pemeriksaan akhir untuk membandingkan keputusan mereka dan meraikan kemajuan mereka pada akhir 90 hari.
Peserta dengan kemajuan terbaik akan membawa pulang sebuah Samsung Galaxy Z Flip6 dan percutian 3 hari 2 malam untuk dua orang di The Banjaran Hotsprings Retreat, bernilai RM10,000.
Sementara itu, naib presiden dan Ketua Perniagaan Pengalaman Mudah Alih Samsung Malaysia, KM Liew berkata syarikat itu memacu inovasi dalam pemantauan kesihatan, menawarkan alatan canggih melalui penjejakan tidur, bimbingan kecergasan atau pandangan pemakanan.
"Program kesejahteraan 90 hari Time to Move mencerminkan komitmen kami untuk membantu pengguna mendapatkan pandangan yang lebih mendalam tentang kesihatan mereka dan membuat pilihan gaya hidup yang positif dan termaklum," tambahnya.
Sumber: BERNAMA
Kembali

