Mendiagnosis dan Mengurus Menopaus Secara Betul bagi Mengelakkan Komplikasi Penyakit Kronik

17 March 2022

Isu berkaitan menopaus sangat jarang dibincangkan secara terbuka, menyebabkan wanita melaluinya dalam diam kerana mereka sering dikaitkan dengan sesuatu yang negatif, kejanggalan dan stigma.

Sebaliknya, bercakap tentang menopaus adalah berfaedah kepada wanita yang sedang atau akan melalui fasa tersebut untuk belajar menguruskan peralihan hidup mereka dengan lebih baik dengan sokongan daripada pilihan rawatan dan persekitaran yang betul.

Pakar Perunding Sakit Puan, Onkologi Ginekologi dan Pakar Bedah Robotik di Pusat Perubatan Sunway, Dr Thangesweran Ayakannu berkata masyarakat harus menggalakkan lebih banyak perbualan dan berkongsi pengetahuan tentang menopaus.

“Pengetahuan tentang menopaus adalah sangat penting supaya masyarakat mempunyai pemahaman yang lebih baik tentang apa dan mengapa ia berlaku.

"Ini merupakan langkah pertama yang baik untuk memahami simptom menopaus supaya wanita dapat melalui peralihan dengan lebih sihat," katanya.

Menopaus adalah fasa semula jadi bagi wanita

Beliau berkata menopaus merupakan fasa semula jadi kehidupan bagi semua wanita yang berlaku seiring dengan peredaran masa dan penuaan.

Wanita dilahirkan dengan ovari yang menghasilkan telur dan hormon estrogen dan progesteron yang mengawal haid. Menopaus berlaku apabila ovari tidak lagi menghasilkan telur dan hormon.

Walau bagaimanapun, menopaus boleh berlaku lebih awal jika ovari dibuang melalui pembedahan atau rosak akibat pendedahan kepada kemoterapi. Ini dikenali sebagai menopaus pramatang.

Kebanyakan wanita mencapai menopaus antara umur 50 dan 51 tahun. Walau bagaimanapun, menopaus boleh berlaku pada bila-bila masa sekitar umur 45 hingga 55 tahun.

Sementara itu, perimenopause boleh berlaku pada wanita pada pertengahan atau akhir 40-an.

Simptom menopaus

Simptom menopaus boleh memberi impak yang besar kepada kehidupan seharian terutamanya bagi wanita yang menyumbang kemahiran dan kepakaran mereka dalam tenaga kerja.

Antara simptom-simptomnya ialah rasa panas badan, berpeluh malam, menggigil, perubahan emosi, masalah tidur, kekeringan faraj, ketidakselesaan semasa hubungan seks, penurunan keinginan seksual, rambut menipis, kulit kering, pertambahan berat badan, metabolisme yang perlahan, masalah kencing seperti inkontinens dan jangkitan saluran kencing, serta masalah ingatan.

Setiap wanita mengalami menopaus secara berbeza

Ramai wanita tertanya-tanya berapa lama simptom menopaus akan berterusan dan jawapannya ialah ia berbeza bagi setiap wanita.

Sifat, keterukan dan susunan simptom juga berbeza-beza. Contohnya, rasa panas dalam badan biasanya berlaku dalam tempoh satu hingga dua tahun tetapi ia juga boleh berterusan sehingga 10 tahun atau lebih lama. Secara purata, menopaus berlangsung antara lima hingga 10 tahun.

Dr Thangesweran berkata walaupun menopaus adalah proses semula jadi, jika simptom-simptomnya membimbangkan dan anda tidak dapat meneruskan aktiviti harian anda dengan betul, anda harus mendapatkan rawatan perubatan.

"Jika tidak didiagnosis dan diuruskan dengan betul, komplikasi tertentu seperti penyakit jantung, strok dan osteoporosis mungkin berlaku pada sesetengah wanita," katanya.

Beliau juga berkongsi petua untuk wanita menghadapi menopaus dengan baik:

1. Didik diri anda tentang menopaus dan buat perubahan gaya hidup yang diperlukan mengikut keperluan.
2. Biasakan diri anda berbual tentang menopaus dengan keluarga, rakan dan rakan sekerja.
3. Jika anda mempunyai pasangan, ahli keluarga atau rakan seseorang yang sedang menopaus, cuba berikan mereka sokongan dan pemahaman.
4. Belajar mengenal pasti simptom, terutamanya jika ia mula menjejaskan kehidupan seharian anda dan dapatkan bantuan perubatan profesional.
5. Raikan peralihan ini sebagai bahagian indah dalam perjalanan seorang wanita.

Bagi menyokong kesihatan wanita, Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway telah menubuhkan Klinik Menopaus khusus yang menyediakan ruang yang selamat untuk wanita mendapatkan sokongan dengan penjagaan dan rawatan yang betul.

Sumber: RELEVAN

   Kembali