Sediakan Jadual Tidur Anak Anda
19 October 2019

Amalan kebersihan tidur melalui tabiat tidur yang baik membantu kanak-kanak mencapai kitaran tidur yang baik. Amalan sejak usia muda dapat membantu kanak-kanak berkembang secara fizikal dan mental.
Pakar Perunding Pediatrik dan Doktor Pernafasan Pusat Perubatan Sunway, Dr Norzila Mohamed Zainudin berkata kebersihan tidur adalah tabiat yang harus dijaga secara konsisten sejak bayi. Terdapat fakta yang menunjukkan bahawa bayi akan tidur selama beberapa jam, tetapi juga akan terjaga selama beberapa jam tanpa mengira waktu dan hari.
"Semasa bayi baru lahir, bayi tidak dapat membezakan siang dan malam. Oleh itu, ini adalah masa yang sesuai untuk ibu bapa memupuk jadual tidur anak mereka. Untuk menggalakkan kebersihan tidur, letakkan bayi anda di tempat yang terang pada siang hari dan di tempat yang gelap pada waktu malam supaya dia dapat membiasakan diri dengan persekitaran baharu," tambahnya.
Bayi hanya boleh membezakan siang dan malam apabila mereka berumur empat bulan tetapi sebagai persediaan dan latihan untuk amalan tidur yang baik, adalah disyorkan untuk diajar kepada bayi sejak lahir.
"Bayi yang berumur kurang daripada enam bulan tidak boleh tidur sepanjang malam tanpa makanan dan sering terjaga. Ini adalah perkara biasa dan tidak dapat dielakkan, tetapi saya berasa risau apabila melihat bayi yang hanya tidur pada pukul 10 malam sedangkan mereka sepatutnya tidur pada pukul 7 malam atau 8 malam," kata Dr Norzila.
Dia menambah bahawa waktu tidur dan tempoh tidur bagi setiap kanak-kanak adalah berbeza mengikut usia.
Bayi berumur empat bulan hingga satu tahun memerlukan antara 12 dan 16 jam tidur, mereka yang berumur satu dan dua tahun memerlukan antara 10 dan 13 jam tidur, dan apabila mereka berumur enam hingga 12 tahun, mereka memerlukan antara sembilan hingga 12 jam tidur sehari. Sementara itu, remaja berumur 13 hingga 18 tahun memerlukan lapan hingga 10 jam tidur sehari.
“Kebersihan tidur merupakan amalan sebelum tidur. Bagi memupuk amalan ini, pelbagai tabiat sebelum tidur boleh digalakkan untuk mendapatkan tidur yang berkualiti. Ini kerana tidur yang berkualiti mempunyai kesan positif terhadap pertumbuhan kanak-kanak secara fizikal dan mental. Bagi kanak-kanak yang bersekolah, mereka boleh fokus kepada pembelajaran tanpa rasa mengantuk dan letih kerana tidak cukup tidur,” kata Dr Norzila.
Kaedah lain untuk menggalakkan kebersihan tidur adalah dengan mandi bersama bayi anda, dan mengurut serta membelai bayi anda. Selain itu, susukan bayi anda beberapa jam sebelum tidur dan letakkannya di atas katil bayi yang selesa.
Pastikan lampu dimalapkan dan suhu di dalam bilik adalah antara 24 dan 25 darjah Celsius. Tidur boleh dirangsang oleh keadaan bilik sama ada gelap dan malap. Sediakan langsir siang dan malam untuk memupuk amalan ini.
“Di negara lain, amalan ini telah lama dijalankan dan dipupuk semasa bayi. Ibu bapa akan menidurkan bayi mereka dengan membaca buku dan berada di sebelah anak sebelum mereka tidur. Ia jarang diamalkan di Malaysia, sebab itu anda boleh melihat ramai kanak-kanak tanpa jadual tidur mereka sendiri. Mereka tidur pada bila-bila masa dan kadangkala, tidur mereka sering terganggu,” kata Dr Norzila.
Ibu bapa harus mengelakkan gajet dan peranti elektronik seperti komputer atau telefon bimbit berada berhampiran anak-anak mereka di dalam bilik tidur. Gajet boleh merangsang otak mereka untuk kekal aktif dan apabila terdapat rangsangan, kanak-kanak sukar untuk tidur dan sebaliknya berasa lebih bertenaga.
"Tidak sepatutnya ada aktiviti fizikal dua hingga tiga jam sebelum tidur. Senaman atau aktiviti menggunakan gajet hanya merangsang hormon adrenal, sekali gus menyukarkan kanak-kanak untuk tidur," kata Dr Nozila.
Dari segi pemakanan, beliau menasihatkan untuk mengelakkan makan tiga hingga empat jam sebelum tidur dan mengelakkan minum minuman ringan. Sebaliknya, adalah lebih baik untuk mengambil minuman berkhasiat seperti susu untuk merangsang tidur.
Apabila seorang kanak-kanak diajar amalan kebersihan tidur, bukan sahaja mereka mendapat tidur yang berkualiti, tetapi juga sihat secara fizikal dan emosi.
“Amalan ini perlu dilakukan secara konsisten. Pastikan anak anda tidur mengikut jadual mereka setiap hari. Jika waktu tidur anak anda adalah pada pukul 8 malam, waktu paling lewat dia perlu tidur adalah hanya 20 minit selepas jadual tidur mereka,” kata Dr Norzila.
Sumber: Berita Harian
Kembali


