Peluang untuk Kehidupan yang Lebih Bermakna

21 November 2020

Pesakit penyakit buah pinggang peringkat akhir (ESKD) perlu menjalani dialisis sepanjang hayat untuk meneruskan kehidupan seharian mereka. Walau bagaimanapun, jika pemindahan buah pinggang dapat dilakukan, rawatan ini dapat menawarkan kualiti hidup yang lebih baik dan memanjangkan jangka hayat pesakit.

Setiap tahun, bilangan pesakit ESKD di negara ini terus meningkat. Menurut laporan Daftar Dialisis dan Pemindahan Malaysia 2018, terdapat sejumlah 45,937 pesakit ESKD di negara ini dan jumlah ini dijangka meningkat kepada 106,000 menjelang 2040.

Laporan itu juga melaporkan sejumlah 39,593 pesakit yang menjalani rawatan hemodialisis dan 4,543 pesakit yang menjalani pemindahan buah pinggang. Ini bermakna hanya segelintir (3.9%) pesakit ESKD menjalani pemindahan buah pinggang.

Pemindahan buah pinggang merupakan satu proses pembedahan untuk menempatkan buah pinggang yang sihat bagi memulihkan fungsi buah pinggang yang rosak.

Bagi mereka yang sesuai menjalani pembedahan ini, pemindahan buah pinggang adalah rawatan terbaik untuk pesakit ESKD berbanding rawatan dialisis. Pemindahan buah pinggang dikaitkan dengan peningkatan jangka hayat, kualiti hidup yang lebih baik dan pengurangan kos penjagaan kesihatan.

Menurut Pakar Perunding Nefrologi (Pelawat) Pusat Perubatan Sunway, Dr Rosnawati Yahya, terdapat dua kategori penderma iaitu penderma yang telah meninggal dunia dan penderma yang masih hidup.

Di Malaysia, kadar pemindahan buah pinggang semasa adalah tiga pemindahan bagi setiap juta penduduk (pmp). Kadar ini sangat rendah berbanding negara lain seperti Sepanyol di mana kadarnya adalah 62 pemindahan bagi setiap juta penduduk, dan Thailand di mana kadarnya adalah sembilan bagi setiap juta penduduk.

Oleh itu, purata masa menunggu untuk mendapatkan buah pinggang daripada penderma yang telah meninggal dunia bagi pesakit dewasa ialah 12.5 tahun.

Sebab utama kadar pemindahan buah pinggang yang sangat rendah ini adalah kekurangan organ daripada penderma yang telah meninggal dunia dan masih hidup. Kadar pendermaan organ semasa tidak dapat memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

Antara faktor yang menyebabkan kadar penderma yang meninggal dunia rendah di Malaysia adalah kurangnya kesedaran dalam kalangan masyarakat di negara ini.

“Terdapat banyak insiden di mana individu telah berikrar untuk menderma organ mereka, tetapi selepas kematian, ahli keluarga mereka enggan memberikan persetujuan mereka,” kata Dr Rosnawati.

Memandangkan kadar pendermaan yang rendah daripada penderma yang telah meninggal dunia dan masa menunggu yang panjang di Malaysia, penderma yang masih hidup adalah alternatif untuk mendapatkan buah pinggang. Di Malaysia, 80% buah pinggang adalah daripada penderma yang masih hidup.

Terdapat beberapa hospital yang menjalankan pemindahan buah pinggang daripada penderma hidup iaitu di bawah Kementerian Kesihatan (Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Selayang), di bawah Kementerian Pendidikan [Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM)] dan beberapa hospital swasta (Pusat Perubatan Sunway dan lain-lain).

Pemindahan buah pinggang daripada penderma yang telah meninggal dunia hanya dilakukan di hospital kerajaan.

Sumber: Berita Harian

   Kembali