Lelaki Lebih Cenderung Menghidap Penyakit Jantung
10 September 2019

Penyakit jantung sering dikaitkan dengan merokok, diet dan gaya hidup – dan memang diketahui umum bahawa rokok merupakan penyebab utama penyakit jantung, tetapi tahukah kita bahawa vape atau rokok elektronik mengundang bahaya yang lebih buruk daripada rokok?
Pakar Perunding Kardiotoraks Pusat Perubatan Sunway, Dr Hardip Singh berkata satu kajian baru-baru ini yang dijalankan oleh sebuah persatuan di Australia mendapati vape menjejaskan jantung 10 kali ganda lebih banyak daripada rokok dan penyumbang utama kepada perkara ini adalah bahan kimia yang terdapat dalam perisa rokok elektronik.
"Jika kesan rokok adalah disebabkan oleh kandungan utamanya, iaitu nikotin, bahan kimia dalam vape akan menyebabkan kesan yang jauh lebih teruk," tambahnya.
Selain merokok dan vape, faktor genetik juga menyumbang kepada penyakit jantung. Walau bagaimanapun, faktor ini hanya melibatkan lelaki kerana kebarangkalian lelaki menghidap penyakit jantung akibat faktor genetik adalah sebanyak 50%.
Wanita terhindar daripada menghidap penyakit jantung akibat faktor genetik kerana mereka mempunyai hormon estrogen yang melindungi mereka daripadanya.
"Sebaik sahaja wanita menopaus, mereka tidak lagi berisiko menghidap penyakit jantung akibat genetik," kata Dr Hardip.
Penyakit jantung merupakan 'pembunuh senyap' kerana individu tersebut mungkin tidak menyedari bahawa dia telah menghidap penyakit vaskular yang kritikal. Oleh itu, Dr Hardip menasihatkan orang ramai untuk menjalani pemeriksaan awal bagi mengenal pasti tahap kesihatan jantung mereka.
Pemeriksaan awal dapat mengelakkan kes kematian akibat penyakit jantung, dan jika individu menjalani pemeriksaan awal, peratusan kematian akibat penyakit jantung hanya 2%.
Pakar Perunding Pakar Bedah Vaskular Pusat Perubatan Sunway, Dr Naresh Govindarajanthran bersetuju dan berpendapat bahawa menangguhkan pemeriksaan kesihatan akan mengundang masalah yang lebih serius kepada jantung.
Beliau berkata kelewatan dalam mengenal pasti penyakit jantung menyebabkan pesakit gagal diselamatkan, malah boleh mengakibatkan kematian. Dalam memanjangkan hayat seseorang, rawatan perubatan yang betul, penjagaan kesihatan dan mengamalkan gaya hidup sihat adalah elemen penting. Gaya hidup sihat harus diamalkan, terutamanya berhenti merokok sepenuhnya, selain memberi ubat kepada pesakit yang berada dalam keadaan serius.
“Senaman adalah penting untuk memastikan jantung berada dalam keadaan baik dan memastikan individu dapat melaksanakan tugas mereka dengan baik. Jika anda tidak dapat berjoging kerana masalah berat badan atau jika anda mengalami sakit lutut, berbasikal dan berjalan kaki boleh diamalkan,” kata Dr Naresh.
Beliau menambah bahawa saluran darah yang sempit akibat kolesterol menyebabkan bekalan darah yang tidak mencukupi ke organ-organ penting dalam badan yang seterusnya menyebabkan jantung bekerja lebih keras. Selain itu, saluran darah yang tersumbat dan menyempit di kaki, dan sebarang kecederaan yang menyebabkan kuman mudah memasuki aliran darah boleh menyebabkan pesakit menghadapi masalah serius atau mungkin menyebabkan beberapa anggota badan dipotong.
Masalah buah pinggang juga merupakan ancaman kepada masyarakat dengan sebilangan besar orang yang menghidapnya. Seramai 40,000 orang sedang menjalani rawatan dialisis manakala sekitar 6,000 hingga 7,000 pesakit baharu menerima rawatan dialisis setiap tahun.
Sumber: Utusan Malaysia
Kembali

