Perubahan Gaya Hidup dan Tabiat Makan Sihat Boleh Mencegah Obesiti Kanak-kanak

29 March 2023

Gaya hidup sihat perlu diterapkan dalam tabiat harian bagi mencegah obesiti kanak-kanak, kata pakar perunding endokrinologi pediatrik Dr Ch'ng Tong Wooi di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway.

Beliau berkata ini termasuk mengurangkan pengambilan makanan yang diproses dan makanan tinggi lemak atau gula, minum banyak air setiap hari, meningkatkan pengambilan makanan tinggi serat seperti gandum penuh, buah-buahan dan sayur-sayuran, serta bersenam selama 30 hingga 45 minit sehari.

"Selain itu, keluarga boleh mencontohi corak pemakanan yang sihat, lebih banyak bergerak sebagai sebuah keluarga, menetapkan rutin tidur yang konsisten dan menggantikan masa skrin dengan masa keluarga untuk mencegah obesiti dalam kalangan kanak-kanak dengan lebih lanjut," tambahnya.

Menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan yang dijalankan setiap empat tahun, 50.1 peratus rakyat Malaysia mempunyai berat badan berlebihan, dengan 19.7 peratus daripada mereka mengalami obesiti pada tahun 2019.

"Ini bermakna seorang daripada dua orang dewasa kini mempunyai berat badan berlebihan, dan 30 peratus kanak-kanak berumur antara lima dan 13 tahun adalah obes," kata Dr Ch'ng.

Obesiti kanak-kanak, yang melibatkan risiko mendapat tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi dan penyakit jantung antara komplikasi lain, boleh menyebabkan obesiti dewasa.

Dr Ch'ng menekankan bahawa obesiti pada zaman kanak-kanak juga boleh menjejaskan harga diri dan membawa kepada masalah psikologi seperti keresahan dan kemurungan, manakala orang dewasa yang mengalami obesiti mempunyai risiko lebih tinggi untuk menghidap strok, kanser dan kematian pramatang serta penyakit mental seperti kemurungan klinikal dan keresahan.

"Obesiti disebabkan oleh pengambilan kalori lebih daripada yang diperlukan oleh badan. Tambahan pula, kanak-kanak menghabiskan lebih sedikit masa bermain di luar dan lebih banyak masa di dalam rumah bermain permainan di telefon, permainan video atau menonton televisyen," kata Dr Ch'ng, sambil menambah bahawa lebih banyak bukti mengaitkan tidur yang tidak mencukupi dengan obesiti.

Sementara itu, Celeste Lau , pakar diet di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, menjelaskan bahawa penyumbang utama kepada obesiti dalam kalangan kanak-kanak adalah makanan berkalori tinggi seperti makanan bergoreng yang mengandungi jumlah lemak yang tinggi, minuman manis (gula) dan snek berkalori tinggi (tinggi lemak dan gula).

"Snek tempatan seperti pisang goreng, cekodok, karipap, cucur udang, donat bersalut krim atau gula, rojak (pasembur) dan keropok lekor, antara lain, adalah snek berkalori tinggi yang mungkin tidak sesuai untuk kanak-kanak yang tidak aktif.

“Ibu bapa juga perlu peka tentang snek popular seperti teh susu buih, krim putar, pastri, kerepek kering dan minuman yogurt, kerana kandungan kalori di dalamnya mungkin sama seperti hidangan utama,” katanya, sambil menambah bahawa ibu bapa perlu mengehadkan jumlah dan kekerapan snek sedemikian.

Lau mengesyorkan snek berprotein tinggi seperti kekacang, bijirin, bar bijirin dan yogurt biasa berbanding minuman manis untuk kanak-kanak aktif.

“Bagi kanak-kanak yang tidak begitu aktif, ibu bapa boleh menawarkan buah-buahan sebagai snek mereka di antara waktu makan,” katanya.

Beliau menasihati ibu bapa untuk memastikan anak-anak mereka mempunyai diet yang sihat dengan memupuk tabiat makan yang sihat sejak kecil.

Lau berkata adalah perkara biasa bagi kanak-kanak kecil, terutamanya mereka yang berumur dua tahun ke bawah, untuk menjadi cerewet kerana mereka sedang mempelajari sesuatu yang baharu (makanan) dalam hidup mereka.

"Sekiranya mereka menolak makanan sekali atau dua kali atau meludahkan makanan dalam setiap hidangan, itu tidak bermakna mereka tidak menyukai makanan tersebut. Ibu bapa tidak mengapa memperkenalkan semula makanan tersebut kepada mereka berulang kali selagi makanan itu penting untuk kanak-kanak dalam peringkat tumbesaran mereka.

"Mulakan dengan hidangan kecil dan berhati-hati jika ia menunjukkan intoleransi atau alahan terhadap makanan yang anda perkenalkan," katanya.

Kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak boleh berlaku, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak yang kurang berat badan dan/atau obes, di mana mereka mungkin tidak mendapat nutrien yang mencukupi untuk tumbesaran.

“Bagi kanak-kanak yang mempunyai masalah berat badan, ibu bapa sentiasa boleh mengetahui lebih awal dengan mengukur berat dan ketinggian mereka di rumah menggunakan carta pertumbuhan untuk memantau pertumbuhan mereka.

"Jangan ragu untuk berunding dengan pakar pediatrik dan pakar diet anda jika anda mempunyai sebarang kebimbangan tentang tumbesaran dan diet untuk orang tersayang," kata Lau.

Pusat Perubatan Sunway mengambil pendekatan holistik untuk menyaring, mencegah, mendiagnosis, merawat dan mengurus sebarang masalah kesihatan yang menjejaskan kanak-kanak. Hospital ini akan mencapai satu peristiwa penting dengan pembukaan Menara D, yang akan menempatkan Pusat Kesihatan Kanak-kanak khusus dan jabatan kecemasan dan kemalangan pediatrik khusus. Pengembangan ini akan mengubah hospital ini menjadi hospital dengan lebih 1,000 katil, mengukuhkannya sebagai hospital kuaternari terbesar di Malaysia.

Sumber: Bernama

   Kembali