Jauhkan Kanak-kanak daripada Obesiti, Cegah Pelbagai Penyakit Kronik
28 June 2022

Obesiti bukan sahaja dialami oleh orang dewasa, malah dalam kalangan kanak-kanak ia boleh mencetuskan pelbagai penyakit kronik jika tidak dibendung dari awal.
Menurut Pakar Perunding Pediatrik dan Endokrinologi Pediatrik Pusat Perubatan Sunway, Dr Ch'ng Tong Wooi , punca utama obesiti di Malaysia adalah disebabkan oleh gaya hidup yang tidak aktif dan pengambilan makanan berkalori tinggi.
“Kanak-kanak cenderung makan dengan kerap dalam kuantiti yang banyak dalam sehari. Mereka juga suka makan snek tidak sihat yang tinggi gula dan lemak. Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019 yang dijalankan setiap empat tahun menunjukkan bahawa 50.1% rakyat Malaysia berlebihan berat badan dengan 19.7% daripada mereka mengalami obesiti, manakala 30% kanak-kanak berumur antara lima hingga 13 tahun berlebihan berat badan,” katanya.
Beliau menambah bahawa kebanyakan punca obesiti dalam kalangan kanak-kanak adalah disebabkan oleh pengambilan kalori yang berlebihan dan kurang bersenam. Walau bagaimanapun, terdapat juga kemungkinan genetik jika obesiti kanak-kanak bermula pada usia yang lebih muda seawal lima tahun.
Mengulas mengenai risiko yang dihadapi oleh kanak-kanak obes, Dr Ch'ng berkata kanak-kanak akan menghadapi diabetes, penyakit jantung, tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi dan strok.
"Obesiti juga boleh menyebabkan badan kurang berupaya menggunakan gula sekaligus, menyebabkan diabetes. Selain itu, kolesterol tinggi meningkatkan risiko penyakit jantung. Langkah paling penting untuk menurunkan berat badan adalah mengubah gaya hidup anda. Ia termasuk mengamalkan diet yang sihat, mengurangkan pengambilan kalori dalam diet mereka dan meningkatkan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan.
“Kanak-kanak juga disyorkan untuk bersenam sekurang-kurangnya 45 hingga 60 minit setiap hari. Selain itu, mengubah gaya hidup seperti menggunakan tangga, berjalan kaki dan melakukan aktiviti fizikal secara berkumpulan juga boleh membantu menurunkan berat badan,” jelasnya.
Beliau juga mengesyorkan untuk mengawal saiz hidangan bagi mencegah obesiti dengan mengamalkan konsep suku-suku-separuh. Contohnya, makan suku hidangan berasaskan protein seperti daging, ayam atau ikan, manakala suku lagi terdiri daripada karbohidrat dan separuh lagi untuk sayur-sayuran atau buah-buahan.
"Beras cenderung menjadi makanan ruji bagi orang Asia, oleh itu kami mengesyorkan pengambilan beras dalam jumlah yang bersamaan dengan saiz tangan kanak-kanak. Kanak-kanak yang obes harus berhenti minum jus kerana menurut Akademi Pediatrik Amerika (AAP), jus mengandungi kalori kosong dan ia harus digantikan dengan buah-buahan keseluruhan," jelasnya.
Sumber: Relevan
Kembali

