Jangkitan Semasa Hamil Memberi Kesan kepada Perkembangan Bayi Baru Lahir – Pakar OBGYN
03 March 2024

KUALA LUMPUR - Kehamilan merupakan satu perjalanan yang luar biasa, namun ia membawa cabaran yang unik, terutamanya yang memberi kesan kepada sistem imun wanita dan menjadikannya lebih terdedah kepada jangkitan.
Pakar Perunding Residen Obstetrik, Ginekologi dan Uroginekologi Pakar Obstetrik di hospital kuaternari swasta terbesar di negara ini, Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway Dr Tan Gaik Imm berkongsi bahawa ibu mengandung perlu mengelakkan jangkitan semasa hamil, kerana ia boleh menyebabkan gejala yang lebih teruk dan berpotensi membahayakan janin atau bayi baru lahir.
Beliau berkata jangkitan yang dijangkiti semasa kehamilan boleh menjejaskan pertumbuhan janin yang sihat, mempercepatkan kelahiran pramatang, atau mengakibatkan keguguran.
"Tambahan pula, jika ibu hamil mengalami jangkitan, terutamanya semasa peringkat awal kehamilannya, ini boleh menyebabkan jangkitan kongenital tertentu pada bayi yang baru lahir, termasuk masalah mata, pendengaran, perkembangan otak dan jantung, serta jangkitan kulit," katanya dalam satu kenyataan sempena Bulan Pencegahan Jangkitan Pranatal Antarabangsa, yang disambut setiap tahun pada bulan Februari.
Rundingan perubatan segera setelah mengalami sebarang gejala amat dinasihatkan oleh Dr. Tan, kerana pengesanan awal membolehkan rawatan tepat pada masanya, sekali gus berpotensi mencegah komplikasi yang teruk.
Dr Tan menggariskan pelbagai sumber yang boleh menyebabkan wanita hamil dijangkiti, termasuk hubungan interpersonal, haiwan, nyamuk, makanan atau aktiviti seksual, sambil menambah bahawa jangkitan biasa semasa kehamilan merangkumi Influenza, Difteria, Pertusis, Sitomegalovirus, Rubella, Varicella Zoster, Tetanus, Toksoplasmosis dan Listeria.
Bagi mengurangkan risiko jangkitan semasa kehamilan, Dr Tan mengesyorkan agar amalan kebersihan yang ketat dipatuhi seperti mencuci tangan dengan kerap, terutamanya selepas menggunakan tandas, menukar lampin, mengendalikan haiwan atau menyediakan makanan.
Selain itu, wanita hamil harus menahan diri daripada berkongsi makanan, minuman atau peralatan makan dengan orang lain dan memastikan vaksinasi mereka dikemas kini.
Sumber: Sinar Harian
Kembali

