Serangan Jantung dan Strok: Apa Perbezaannya?
28 May 2022

Serangan jantung merupakan punca utama kematian di Malaysia di mana 18,515 kes direkodkan pada tahun 2020, namun perhatian harus diberikan kepada satu lagi serangan berbahaya iaitu strok, yang mencatatkan 9,093 kematian. Namun, adakah kedua-dua keadaan ini mempunyai simptom yang sama? Bagaimanakah anda boleh membezakannya?
Menurut Dr. Mohd Kamal Mohd Arshad , Pakar Perunding Kardiologi di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, tanda-tanda serangan jantung yang paling jelas ialah sakit dada (tekanan pada dada), sesak nafas, berpeluh dan kebas pada tangan kiri.
Simptom-simptom ini disebabkan oleh penyempitan saluran darah di jantung akibat risiko tertentu seperti kolesterol tinggi, tekanan darah tinggi dan diabetes.
"Gumpalan darah yang terbentuk di dalam saluran darah menyekat aliran darah dan apa yang mungkin menyempit sebanyak 50% boleh disekat 100% pada hari serangan. Ketika itulah seseorang mengalami sakit dada secara tiba-tiba dan sesak nafas, yang membawa kepada serangan jantung," katanya.
Tanda-tanda strok
Sementara itu, individu mengalami kelemahan, kekeliruan, kesukaran bercakap, masalah penglihatan, pening dan kehilangan keseimbangan apabila berlaku strok. Tanda-tanda ini boleh berlaku serta-merta.
"Strok melibatkan penyempitan saluran darah di otak atau leher, di mana plak kolesterol membentuk gumpalan darah, menyekat aliran darah. Selain itu, gumpalan darah boleh terbentuk di jantung dan bergerak ke otak, menyebabkan strok, terutamanya jika seseorang itu mempunyai masalah kadar denyutan jantung," kata Dr Mohd Kamal.
Faktor risiko kedua-dua keadaan adalah sama, iaitu tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi, merokok, obesiti dan kurang bersenam.
"Individu yang mengalami serangan jantung juga boleh mengalami strok kerana risikonya lebih kurang sama. Mereka yang mempunyai sejarah keluarga berisiko lebih tinggi untuk mendapat penyakit ini. Usia juga memainkan peranan di mana semakin tua mereka, semakin tinggi risikonya," katanya.
Beliau menambah bahawa pesakit serangan jantung dan strok perlu diberi rawatan segera bagi mengelakkan komplikasi.
"Serangan jantung dan strok sangat bergantung pada masa. Apabila ia lambat dirawat, banyak kerosakan berlaku. Apabila terdapat pembekuan darah yang menyebabkan penyumbatan, bahagian jantung atau otak yang tidak menerima darah akan mula rosak dan menjadi sukar untuk dibaiki.
"Pesakit perlu dibawa ke hospital untuk rawatan segera dalam tempoh 12 jam selepas serangan jantung manakala bagi strok, rawatan perlu diberikan tiga atau empat jam selepas serangan," tegasnya.
Angiogram dilakukan untuk mengetahui sebarang penyumbatan dalam saluran darah sebelum prosedur angioplasti dilakukan. Kaedah lain adalah dengan memberi ubat pencair darah, yang digunakan untuk merawat strok.
Serangan jantung dan strok berkait rapat dengan gaya hidup seseorang individu termasuk pemakanan.
"Diabetes boleh dikawal dengan menjaga pemakanan dan senaman, jika tidak, risiko serangan jantung atau strok adalah lebih tinggi. Begitu juga perokok," katanya.
Di Malaysia, purata umur untuk serangan jantung ialah 58 tahun, tetapi kes yang melibatkan mereka yang berumur 30-an dan 40-an telah meningkat.
“Serangan jantung lebih kerap berlaku dalam kalangan lelaki berbanding wanita di mana 12,707 lelaki mengalami serangan berbanding 5,8080 wanita pada tahun 2020. Sebelum menopaus, wanita mempunyai hormon tertentu yang melindungi mereka daripada mendapat serangan jantung, namun selepas menopaus kadarnya lebih tinggi tetapi masih tidak setinggi lelaki,” kata Dr Mohd Kamal.
Tahap kesedaran dalam mengamalkan gaya hidup sihat semakin meningkat dan orang ramai lebih peka dalam menjaga kesihatan mereka.
“Semakin ramai orang mengubah gaya hidup mereka. Masyarakat juga lebih terbuka dalam berkongsi dan mendapatkan maklumat berkaitan penyakit. Golongan muda digalakkan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan sekali setahun bagi mereka yang berumur 30-an, supaya kesihatan mereka sentiasa dipantau,” katanya.
Sumber: Berita Harian
Kembali

