Tips Pemakanan Sihat bagi Pesakit COVID-19 untuk Kekal Bertenaga Semasa Berpuasa

18 March 2022

Pada bulan April, umat Islam akan menjalani ibadah puasa sepanjang bulan Ramadan dan sudah tentu ia akan menjadi sedikit mencabar bagi mereka yang dijangkiti COVID-19 untuk menunaikan tanggungjawab rukun Islam yang ketiga.

Dalam hal ini, Ooi Jee Cheng, Pakar Diet di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, mencadangkan petua pemakanan untuk pesakit COVID-19 yang baru pulih bagi meningkatkan tahap tenaga mereka ketika berpuasa sepanjang Ramadan.

“Pastikan anda mengamalkan konsep pinggan sihat, suku suku separuh - suku protein, suku karbohidrat dan separuh sayur-sayuran bukan berkanji.

"Untuk meningkatkan tenaga, anda dinasihatkan untuk makan makanan yang lebih sihat seperti buah-buahan, segenggam kacang, dan yogurt atau susu," katanya.

Beliau menambah bahawa walaupun pengambilan makanan yang mencukupi untuk pesakit yang telah pulih daripada COVID-19 agak mencabar, adalah disyorkan untuk mengambil makanan dalam kuantiti yang kecil secara berkala bagi memenuhi keperluan nutrien badan.

Pengambilan makanan tinggi serat yang mencukupi seperti kekacang, bijirin, buah-buahan dan sayur-sayuran digalakkan untuk memberikan rasa kenyang semasa berpuasa dan melambatkan rasa lapar selepas sahur.

Hidrasi adalah penting untuk pesakit pasca COVID-19. Oleh itu, pastikan anda mengambil banyak cecair terutamanya yang mengandungi protein. Contohnya, susu soya, susu rendah lemak dan minuman berasaskan bijirin semasa berbuka puasa.

Sementara itu, seorang lagi Pakar Diet di Pusat Perubatan Sunway, Brenda Chong Mei Qi turut berkongsi petua pemakanan terbaik yang perlu diambil oleh pesakit COVID-19 semasa tempoh kuarantin mereka:

  • Kekal terhidrat. Minum banyak air kosong dan bukannya minuman manis.
  • Elakkan makanan pedas atau berlemak tinggi untuk mengelakkan sakit perut.
  • Makan banyak buah-buahan dan sayur-sayuran untuk antioksidan dan serat.
  • Pilih produk bijirin penuh yang mengandungi serat yang tinggi untuk mengelakkan sembelit.
  • Makanan yang lebih tinggi protein seperti ikan, ayam, daging, kacang, kekacang, produk soya, susu dan produk tenusu untuk menguatkan imuniti dan mengekalkan otot anda.
  • Berhati-hati dengan hidangan dan jangan melangkau hidangan utama.

Sumber:  RELEVAN

   Kembali