Fourier Intelligence dan Sunway Medical Centre Membawa TRoom Pertama ke Asia Tenggara

16 June 2023

KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) -- Pusat Perubatan Sunway (SMC) bersama Fourier Intelligence baru-baru ini memasang 'TRoom' pertama di Asia Tenggara di Menara D, SMC Sunway City, untuk mempelbagaikan lagi perkhidmatan penjagaan kesihatannya dengan kemudahan moden.

Bilik TRoom merupakan persekitaran khas yang direka untuk membantu pesakit dengan pelbagai keperluan dengan menggunakan teknologi dan peranti fizikal untuk merangsang deria dan boleh digunakan sebagai rawatan perubatan dalam menilai prestasi fizikal dan membantu pembelajaran.

Ketua pegawai eksekutif Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, Dr Seow Vei Ken berkata sebagai hospital kuaternari swasta terbesar di negara ini, pasukan pelbagai disiplin hospital sentiasa meneroka cara baharu dan inovatif untuk melayani dan meningkatkan pengalaman pesakit.

"Dengan 22 sub-kepakaran pediatrik, yang merangkumi perkhidmatan perkembangan kanak-kanak, hospital kami terus berkembang dan kini merangkumi Bilik Tidur dan bilik permainan deria, yang merupakan antara inisiatif terkini kami untuk membantu pesakit muda kami yang mengalami kelewatan pembelajaran.

"Kami berbangga menjadi yang pertama di Asia Tenggara yang bekerjasama dengan Fourier Intelligence untuk menawarkan sistem imersif ini di Pusat Perkembangan Kanak-kanak kami yang baru dibuka di Menara D," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahan pula, kenyataan itu menyatakan melalui sistem canggih TRoom, pengecaman suara dan wajah boleh diprogramkan untuk mencipta pengalaman yang imersif dan realistik.

Sesi terapi di TRoom mewujudkan persekitaran yang menenangkan sambil memastikan pesakit sentiasa terlibat yang boleh membawa kepada hasil yang lebih baik dalam pemulihan mereka.

Sementara itu, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Global Fourier Intelligence, Zen Koh berkata kerjasama antara Fourier Intelligence dan Sunway Medical Centre menandakan pencapaian penting ke arah kecemerlangan dalam teknologi pemulihan.

Beliau berkata pengenalan TRoom merupakan bukti komitmen teguh syarikat terhadap inovasi.

"Usaha penyelidikan dan pembangunan kami yang berdedikasi telah membolehkan kami menyediakan teknologi baharu dan canggih, memperkasa pemulihan pesakit dan membolehkan doktor memberikan rawatan yang dipertingkatkan yang memberi impak positif kepada pemulihan pesakit. 

"Dengan sokongan yang dihargai daripada Pusat Perubatan Sunway, kami bersedia untuk merevolusikan penjagaan pesakit dengan mengintegrasikan penyelesaian canggih. Perkongsian ini menandakan satu langkah besar ke hadapan dalam visi bersama kami untuk mengubah bidang pemulihan," katanya.

 Fourier Intelligence secara aktif mengambil bahagian dalam acara dan persidangan industri untuk memudahkan kemajuan dalam industri pemulihan, seperti RehabWeek 2023 yang akan datang, yang akan diadakan di Asia buat kali pertama.

Sumber: BERNAMA

   Kembali