Penjagaan Awal Kehamilan

12 December 2020

Kehamilan merupakan fasa yang indah dan dinanti-nantikan oleh seorang wanita untuk melengkapkan keluarga. Oleh itu, penjagaan sepanjang kehamilan adalah penting bagi memastikan ibu dan bayi sihat tanpa sebarang komplikasi sehingga kelahiran.

Trimester pertama kehamilan adalah penting dan harus diuruskan dengan baik untuk mengelakkan sebarang risiko keguguran. Pada peringkat ini, kesihatan fizikal dan mental bayi dalam kandungan dipengaruhi oleh penjagaan pra-kehamilan dan trimester pertama kehamilan.

Wanita hamil harus sentiasa mendapatkan nasihat perubatan, menjaga pemakanan mereka, mengamalkan gaya hidup sihat, dan mengikuti nasihat kehamilan daripada doktor dan sumber yang sahih.

Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi Pusat Perubatan Sunway, dan Doktor Perubatan Ibu dan Jani Sivanathan berkata wanita hamil perlu mengambil berat tentang penjagaan kehamilan bagi mengelakkan sebarang komplikasi.

Beliau berkata sesetengah wanita mengalami pelbagai jenis alahan, manakala ada yang hilang selera makan dan ada juga yang kehilangan berat badan yang banyak sehingga terpaksa dimasukkan ke hospital selain mengalami pendarahan semasa awal kehamilan.

Sebaik sahaja seorang wanita disahkan hamil, dan ujian air kencing menunjukkan keputusan positif, dia perlu melakukan imbasan ultrasound untuk menentukan sama ada kehamilan berada di dalam atau di luar rahim.

"Pelbagai komplikasi boleh membahayakan nyawa ibu seperti keguguran, kehamilan molar dan kehamilan ektopik yang boleh membawa maut. Pendarahan dan sakit perut adalah antara simptom keguguran, kehamilan molar dan ektopik," kata Dr Janani.

"Jika bayi sihat dan berada di dalam rahim dalam kedudukan normal, imbasan ultrasound perlu dilakukan antara 11 dan 13 minggu (tiga bulan) untuk menentukan tarikh jangkaan kelahiran, sama ada anda mengandung bayi tunggal atau kembar, dan jika terdapat sebarang masalah struktur atau genetik pada bayi. Imbasan ini juga boleh mengesan pertumbuhan pada ovari atau sista dan fibroid," tambahnya.

Semasa trimester ini, ujian saringan boleh dilakukan untuk mengetahui risiko sindrom Down dan sindrom lain yang berpotensi membawa maut seperti sindrom Edwards dan sindrom Patau, yang boleh menyebabkan bayi meninggal dunia semasa dilahirkan.

"Ujian darah juga boleh dilakukan untuk mengetahui sama ada ibu berisiko menghidap pra-eklampsia (keadaan di mana ibu mempunyai tekanan darah tinggi dan terdapat protein yang dikesan dalam air kencing) semasa kehamilannya berlanjutan," kata Dr Janani.

Wanita yang didiagnosis dengan pra-eklampsia berisiko mengalami sawan dan juga kematian. Mereka biasanya diberi ubat untuk mencairkan darah dan kalsium sebagai langkah pencegahan.

Saringan untuk menilai perkembangan janin masih boleh dilakukan antara 20 dan 24 minggu. Imbasan dalam tempoh ini akan melihat pembentukan bayi sama ada sihat atau sebaliknya serta menentukan pertumbuhan otak, muka, jantung, paru-paru, tulang belakang, buah pinggang, kaki, tangan dan jantina.

Menurut Dr Janani, ujian saringan adalah penting untuk mengetahui risiko masalah genetik pada bayi. Jika keputusan menunjukkan risiko tinggi untuk masalah sindrom (seperti sindrom Down), ujian diagnostik semasa trimester pertama boleh dibuat dengan mengambil sampel tisu daripada plasenta yang dipanggil pensampelan vilus korionik.

"Daripada imbasan tersebut, kita dapat melihat secara terperinci ketebalan belakang leher, tulang hidung dan masalah lain pada bayi seperti jika otak tidak terbentuk secara normal atau jika usus terbentuk di luar perut. Dari situ, kita boleh menjangkakan bayi tersebut mempunyai masalah genetik.

"Apabila ini berlaku, ujian diagnostik akan dijalankan. Jika anda terlepas ujian ini pada peringkat awal, ibu-ibu masih mempunyai masa untuk melakukannya selepas minggu ke-16 dan ke atas dengan mengambil sedikit cecair amniotik untuk ujian amniosentesis," kata Dr Janani.

Wanita yang lebih tua, dan wanita yang obes atau mempunyai penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi dan diabetes berisiko mendapat jangkitan yang lebih serius jika mereka dijangkiti virus seperti COVID-19.

“Wanita hamil adalah antara kumpulan berisiko tinggi yang mudah mendapat jangkitan yang lebih teruk akibat COVID-19, justeru mereka perlu lebih berhati-hati dengan kerap mencuci tangan, menggunakan cecair pembasmi kuman, mengelakkan tempat sesak dan sentiasa memakai pelitup muka.

“Mereka juga tidak boleh mengabaikan temu janji mereka dengan doktor, terutamanya selepas mereka memasuki trimester ketiga, iaitu 28 minggu ke atas,” kata Dr Janani.

Wanita hamil dinasihatkan untuk menjaga kesihatan yang baik dan mengambil makanan seimbang termasuk buah-buahan, sayur-sayuran, protein dan kalsium serta melakukan senaman yang sesuai.

"Kehamilan tidak sepatutnya menghalang wanita daripada mengamalkan gaya hidup aktif bagi mencegah obesiti, diabetes dan penyakit lain. Walau bagaimanapun, wanita hamil perlu tahu jenis senaman yang sesuai pada setiap peringkat kehamilan serta memastikan tiada masalah seperti plasenta rendah dan masalah rahim antara lain," nasihat Dr Janani.

Sumber: Berita Harian

   Kembali