Jangan Berdiam Diri Mengenai Kanser Payudara
04 October 2021

Rawatan kanser sering dianggap menyakitkan, menyebabkan ramai yang lebih rela berdiam diri daripada mendapatkan rawatan. Ada juga yang percaya kepada kaedah alternatif, beranggapan bahawa penyakit itu boleh diubati dengan cara itu. Ini menyebabkan pesakit hanya mendapatkan nasihat perubatan apabila sel kanser telah merebak.
Pakar Perunding Onkologi Klinikal Pusat Perubatan Sunway, Dr Aqilah Othman berkata ramai pesakit yang menerima rawatan awal dapat kembali sihat dan terus menjalani kehidupan normal walaupun telah menjalani rawatan kanser.
Kanser payudara merupakan salah satu kanser yang sering dikesan selepas ia merebak ke Tahap 3 atau 4, walaupun ramai yang menyedari tanda-tanda seperti ketulan dan lelehan yang luar biasa tetapi menganggap ia tidak serius. Dr Aqilah berkata terdapat jurang kesedaran antara umur, lokasi dan pendidikan dalam melakukan saringan berkala untuk mencegah atau mengesan penyakit pada peringkat awal apabila ia masih asimptomatik.
"Pesakit lebih cenderung untuk mencuba rawatan alternatif atau mengharapkan ia sembuh sendiri dan apabila tiada hasil positif, mereka akan datang ke hospital apabila kanser telah merebak. Keadaan sebenar kanser boleh dipastikan melalui imbasan atau biopsi yang kemudiannya doktor akan mengesyorkan rawatan yang paling sesuai," kata Dr Aqilah, memetik Laporan Daftar Kanser Kebangsaan Malaysia 2012 - 2016 yang mendedahkan hampir 50% kes kanser payudara dikesan pada Tahap 3 dan 4.
"Pakar onkologi akan mempertimbangkan beberapa faktor termasuk jenis dan peringkat kanser, tahap kesihatan dan penyakit lain yang mungkin perlu dihadapi oleh pesakit untuk menentukan rawatan yang paling berkesan. Ini kerana terdapat pelbagai jenis rawatan termasuk pembedahan, kemoterapi, rawatan yang disasarkan, imunoterapi, radioterapi dan rawatan hormon tetapi kesesuaian setiap rawatan bergantung kepada kanser yang berbeza pada setiap individu.
"Sebagai contoh, terdapat pesakit kanser payudara Tahap 4 yang menjalani kehidupan normal selepas menjalani rawatan hormon dan rawatan yang disasarkan melalui pil. Jangka hayat mereka dilanjutkan dan kesan sampingan daripada rawatan adalah ringan," tambahnya, sambil mengatakan bahawa rawatan adalah diperibadikan untuk setiap individu.
Sementara itu, Pakar Bedah Payudara dan Endokrin Pusat Perubatan Sunway, Dr Normayah Kitan berkata kanser payudara berlaku disebabkan oleh faktor yang boleh diubah suai dan tidak boleh diubah suai. Faktor yang tidak boleh diubah suai yang menyebabkan risiko kanser payudara yang lebih tinggi termasuk usia, menjadi wanita, sejarah keluarga atau genetik dan pendedahan jangka panjang kepada estrogen (mengalami haid pada usia muda dan menopaus lewat).
"Bagi faktor-faktor yang boleh diubah, antaranya ialah wanita yang tidak pernah melahirkan anak atau menyusukan bayi, individu yang telah mengambil pil perancang keluarga selama lebih daripada 10 tahun atau hormon HRT bagi mereka yang menopaus. Selain itu, faktor gaya hidup seperti obesiti, kurang bersenam atau terdedah kepada radiasi akibat kanser lain juga berisiko tinggi menghidap kanser payudara," kata Dr Normayah.
Ujian mamogram adalah penting untuk pengesanan awal kanser payudara terutamanya bagi wanita berumur 40 tahun ke atas. Mereka juga perlu tahu cara memeriksa payudara mereka sendiri.
"Sesetengah orang mengatakan bahawa saringan mamogram menyakitkan, tetapi kesakitan itu hanya sementara. Teknologi terkini menjadikan saringan mamogram lebih selesa dan kurang menyakitkan. Biasanya tiada gejala pada peringkat pra-invasif dan gejala yang paling biasa ialah ketulan pada payudara yang selalunya tidak menyakitkan. Ketulan hanya boleh dirasai apabila saiznya lebih daripada 1-2 cm. Tanda-tanda lain kanser payudara ialah kesakitan, lelehan yang luar biasa dan perubahan pada bentuk payudara. Adalah penting untuk melakukan pemeriksaan payudara dengan doktor dengan segera jika terdapat sebarang gejala di atas," kata Dr Normayah, sambil menambah bahawa pesakit akan mengalami kesakitan yang serius, sesak nafas, lemah dan hilang selera makan jika kanser payudara mereka berada pada peringkat yang lebih teruk.
Secara amnya, tahap kesedaran kanser payudara dalam kalangan wanita di negara ini dipengaruhi oleh tahap pendidikan, status ekonomi, geografi tempat tinggal sama ada di kawasan bandar atau luar bandar dan akses kepada rawatan.
“Setiap wanita perlu mengetahui kepentingan pemeriksaan berkala dan segera menjalani pemeriksaan jika terdapat sebarang gejala pada payudara agar kanser dapat dikesan lebih awal dan dirawat dengan segera. Peluang untuk terus hidup dalam tempoh 5 tahun adalah hampir 99% jika kanser dirawat pada peringkat awal. Manakala pada Peringkat 4, kadar kelangsungan hidup hanya 25% peratus.
"Kakitangan perubatan, keluarga dan kenalan perlu memberikan sokongan padu kepada pesakit semasa mereka menjalani rawatan. Pesakit perlu percaya bahawa kanser payudara boleh dirawat dan bukannya hukuman mati."
“Adalah lebih baik untuk menganggap kanser sebagai penyakit biasa seperti tekanan darah tinggi atau diabetes supaya kesedaran tentang pencegahan dan rawatan kanser payudara dalam kalangan wanita akan meningkat dan mereka sanggup tampil untuk pemeriksaan dan mendapatkan rawatan yang sewajarnya,” kata Dr Normayah.
Sumber: Berita Harian
Kembali

