Denggi dalam Kalangan Kanak-kanak: Pengesanan Awal Penting untuk Mencegah Komplikasi Teruk
26 February 2025

KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Denggi kekal menjadi masalah kesihatan awam yang ketara di Malaysia, di mana negara ini diklasifikasikan sebagai zon endemik dengan virus itu merebak di semua wilayah.
Antara mereka yang paling berisiko adalah kanak-kanak, yang amat terdedah kepada denggi yang teruk, satu keadaan yang boleh merosot dengan cepat dan membawa kepada komplikasi yang mengancam nyawa jika tidak dirawat dengan segera. Pakar Perunding Pediatrik dan Pakar Intensif Pediatrik di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, Dr Gan Chin Seng , berkata mendiagnosis denggi pada kanak-kanak boleh menjadi mencabar kerana simptomnya sering bertindih dengan jangkitan virus lain.
"Simptom-simptom biasa seperti demam, sakit kepala dan muntah bukanlah sesuatu yang unik kepada denggi, menjadikannya sukar bagi penyedia penjagaan kesihatan untuk mengenal pasti virus tersebut tanpa tahap kecurigaan yang tinggi," katanya kepada Bernama.
Beliau menekankan bahawa denggi harus sentiasa dipertimbangkan jika seorang kanak-kanak mengalami demam berterusan tanpa punca yang jelas, terutamanya di kawasan yang telah dilaporkan kes denggi.
"Ujian darah adalah penting dalam mengesahkan diagnosis, dengan pelbagai ujian tersedia untuk mengesan virus lebih awal. Walau bagaimanapun, cabaran denggi dalam kalangan kanak-kanak ialah ia boleh berkembang dengan cepat.
"Walaupun demam mungkin reda, ini boleh mengelirukan kerana ini menandakan permulaan fasa kebocoran plasma yang berbahaya. Fasa ini boleh menyebabkan penurunan tekanan darah dan bekalan darah yang tidak mencukupi ke organ penting, yang membawa kepada renjatan dan berpotensi kegagalan multiorgan," katanya.
Dr Gan berkata pengelasan denggi telah dikemas kini dalam beberapa tahun kebelakangan ini untuk memasukkan "denggi dengan tanda-tanda amaran", menunjukkan bahawa seorang kanak-kanak mungkin berisiko lebih tinggi menghidap denggi yang teruk.
"Tanda-tanda amaran termasuk sakit perut, muntah berterusan, pengumpulan cecair di dalam paru-paru atau abdomen, gejala pendarahan seperti pendarahan gusi, lesu, pembesaran hati dan penurunan kiraan platelet yang cepat dengan darah yang lebih pekat.
"Kanak-kanak yang mempunyai tanda-tanda amaran akan mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menjadi denggi teruk yang mungkin menunjukkan renjatan, pendarahan teruk atau pengumpulan cecair yang berlebihan, menyebabkan kesukaran bernafas. Dengan mengenal pasti tanda-tanda amaran ini, ia akan membantu doktor yang merawat dalam membuat keputusan dan rawatan terhadap keadaan tersebut," katanya.
Dr Gan juga menyatakan bahawa denggi yang teruk boleh menjejaskan otak, yang membawa kepada ensefalitis (apabila otak menjadi radang), jantung, yang membawa kepada miokarditis (apabila jantung menjadi radang), dan hati, yang membawa kepada hepatitis (apabila hati menjadi radang dan sesak) pada kanak-kanak denggi dengan tanda-tanda amaran.
"Pengenalpastian awal dan rawatan segera adalah penting untuk mencegah akibat yang serius," tegasnya.
Beliau berkata pelbagai faktor menyumbang kepada risiko denggi yang teruk, yang boleh dikategorikan kepada faktor berkaitan pesakit dan persekitaran.
"Faktor risiko berkaitan pesakit termasuk obesiti, umur lebih daripada lima tahun ke atas, sejarah jangkitan denggi sebelum ini, dan keadaan kesihatan sedia ada.
"Alam sekitar memainkan peranan penting dalam penularan denggi, kerana kawasan yang mempunyai air bertakung berfungsi sebagai tempat pembiakan nyamuk Aedes yang menyebarkan virus. Tinggal di kawasan sedemikian atau mempunyai jiran yang mempunyai kes denggi meningkatkan risiko. Usaha komuniti juga penting dalam menghapuskan tempat pembiakan nyamuk," katanya.
Menurut Dr Gan, diagnosis dan intervensi awal adalah penting dalam menguruskan denggi yang teruk.
Oleh itu, beliau menasihati ibu bapa dan penjaga supaya berwaspada dan mendapatkan rawatan perubatan jika kanak-kanak menunjukkan demam berterusan, muntah, sakit perut atau kesukaran minum cecair.
“Pengurusan cecair awal adalah kunci untuk mencegah kerosakan buah pinggang dan komplikasi lain. Jika kanak-kanak tidak dapat minum cecair akibat muntah, mereka perlu dimasukkan ke hospital untuk penghidratan intravena. Selepas demam reda, pemantauan rapi yang berterusan adalah penting, kerana tempoh ini (fasa kritikal) boleh menjadi tenang sebelum komplikasi yang lebih serius timbul,” jelasnya.
Pakar pediatrik dan pakar intensif pediatrik itu juga menyatakan bahawa kemunculan ruam semasa fasa pemulihan adalah tanda positif, menunjukkan bahawa kanak-kanak itu semakin pulih.
"Selain rawatan, pendidikan keluarga dan awam memainkan peranan penting dalam mencegah denggi yang teruk," katanya.
"Mengenal pasti simptom lebih awal, memahami bila perlu mendapatkan bantuan perubatan dan memastikan pengambilan cecair yang betul adalah mesej penting yang perlu disampaikan kepada orang ramai.
Tambahan pula, pengenalan vaksin denggi telah menjadi langkah penting dalam pencegahan denggi. Vaksin yang telah terbukti dapat mengurangkan tahap keterukan denggi sehingga 90 peratus, kini tersedia untuk kanak-kanak berumur empat tahun ke atas,” katanya.
Walau bagaimanapun, meskipun terdapat vaksin denggi, penggunaannya di Malaysia agak perlahan berbanding negara jiran seperti Thailand dan Vietnam.
"Bagi meningkatkan kadar vaksinasi, kempen kesihatan awam adalah perlu untuk menggalakkan ibu bapa memberi vaksin kepada anak-anak mereka, kerana vaksin ini menyediakan lapisan perlindungan penting terhadap denggi yang teruk," tambahnya.
Sumber: BERNAMA
Kembali

