Penjagaan dan Rawatan untuk Gigi yang Cedera

13 June 2020

Penjagaan dan Rawatan untuk Gigi yang Cedera

Kebersihan mulut dan gigi mungkin mudah untuk orang dewasa, tidak seperti kanak-kanak yang kebersihan mulut dan giginya perlu dijaga dengan pengawasan yang betul.

Kecederaan pada pelbagai bahagian badan serta mulut dan gigi adalah perkara biasa dalam kalangan kanak-kanak dan seperti bahagian badan yang lain, gigi juga boleh cedera akibat aktiviti aktif. Selain itu, kanak-kanak yang tidak dipasangkan pada tempat duduk keselamatan atau yang tidak menggunakan tali pinggang keledar boleh menyebabkan kecederaan pada pelbagai bahagian badan termasuk gigi.

Dr Jama'iah Mohd Sharif, Pakar Perunding Pergigian Pediatrik di Pusat Perubatan Sunway berkata terdapat pelbagai peringkat kecederaan dan kecederaan yang paling biasa berlaku pada mulut dalam kalangan kanak-kanak dan remaja adalah kecederaan di mulut dan kecederaan pergigian.

Jenis-jenis kecederaan pergigian, sama ada pada gigi susu atau gigi kekal, termasuk gigi retak, gigi sumbing atau patah, mahkota patah yang melibatkan lapisan enamel gigi, dentin atau pulpa, dan kedua-dua mahkota dan akarnya patah.

“Selain kecederaan gigi patah, kecederaan pergigian yang biasa berlaku termasuk gigi longgar, gigi tercabut separa, gigi tersekat jauh ke dalam soket, kedudukan gigi tidak sejajar dengan gigi yang lain, dan gigi tercabut,” kata Dr Jama'iah.

Selain kecederaan pergigian, mungkin terdapat kecederaan pada tisu lembut atau keras di sekitar gigi yang terjejas. Dr Jama'iah berkata rawatan awal untuk sebarang jenis kecederaan pergigian adalah penting untuk memastikan rawatan dan hasil yang terbaik.

Contohnya, dalam kes gigi kekal yang patah, serpihan gigi boleh ditutup semula kerana terdapat beberapa kes di mana gigi yang sumbing berjaya dicantumkan. Walau bagaimanapun, jika gigi itu hanya sedikit sumbing, anda tidak memerlukan serpihan itu dan harus segera pergi ke klinik pergigian terdekat.

“Bagi kecederaan pergigian di mana gigi kekal tercabut sepenuhnya, cuba cari di kawasan kecederaan itu berlaku. Pastikan anda memegangnya pada mahkota (bahagian putih gigi) dan jika ia kelihatan sedikit kotor, bilas di bawah air untuk seketika.

“Jika keadaan mengizinkan, cuba masukkan gigi ke dalam soketnya dan minta mangsa menggigit sapu tangan untuk memastikan gigi stabil. Jika kaedah ini tidak berjaya, letakkan gigi di dalam bekas susu segar atau larutan garam normal, dan berjumpa doktor gigi dengan segera,” kata Dr Jama'iah, menekankan kepentingan membawa mangsa ke klinik pergigian terdekat.

Beliau menambah bahawa gigi boleh disimpan di dalam mulut mangsa, di kawasan antara pipi dan gusi bawah, tetapi mangsa perlu berhati-hati dan dipantau sepanjang masa untuk risiko tertelan atau gigi memasuki saluran pernafasan. Kaedah ini tidak sesuai untuk kanak-kanak dan mereka yang berkeperluan khas yang tidak dapat memahami dan mengikuti arahan dengan jelas.

Dr Jama'iah menasihatkan agar mulut dan gigi diperiksa, walaupun kanak-kanak itu tidak mengadu sakit dan tidak menunjukkan tanda-tanda kecederaan atau pendarahan.

"Ini perlu ditekankan sekiranya berlaku kemalangan atau insiden yang melibatkan muka. Segera periksa mulut dan gigi, dan bawa mangsa berjumpa doktor gigi dengan segera. Jangan tunggu sehingga kanak-kanak mengadu sakit atau bengkak," katanya.

Berkenaan kaedah rawatan, Dr Jama'iah berkata terdapat sedikit perbezaan antara rawatan gigi susu dan gigi kekal. Rawatan bergantung kepada beberapa faktor seperti kesihatan kanak-kanak, keadaan perubatan kronik, keadaan pendarahan, keperluan khas dan lain-lain.

“Aspek-aspek lain bergantung kepada tahap kerjasama kanak-kanak, komitmen ibu bapa atau penjaga, tahap kecederaan pergigian, dan tahap pertumbuhan gigi. Terdapat pelbagai kaedah rawatan yang boleh diberikan dengan sewajarnya. Contohnya, tampalan gigi untuk gigi patah (dengan atau tanpa rawatan akar), kelengkapan dawai khas untuk kes gigi longgar, pemasangan semula gigi yang tercabut, dan juga pencabutan gigi,” katanya.

Dia menjelaskan bahawa tidak kira sama ada kecederaan itu berlaku pada gigi susu atau kekal, rawatan segera adalah penting bagi memastikan rawatan yang lebih mudah atau lebih konservatif.

"Rawatan segera akan memberikan hasil yang lebih baik dan membolehkan kesihatan pergigian yang baik dikekalkan. Kelewatan rawatan boleh menyebabkan komplikasi seperti jangkitan dan bengkak yang menyebabkan rawatan menjadi lebih rumit dan mahal, dan mungkin gigi tidak dapat dibaiki lagi," katanya.

Sumber: Berita Harian

   Kembali