Pengesanan Kanser Melalui Teknologi EUS
10 August 2019

Kanser pada organ pencernaan seperti saluran gastrousus atau esofagus dan pankreas sukar dikesan pada peringkat awal. Ini kerana tiada gejala awal yang ditunjukkan atau dirasai oleh pesakit selain sel-sel kanser yang berlaku di lapisan esofagus dan pankreas yang sukar dikesan.
Kanser esofagus adalah cepat dan agresif, dan sering berlaku pada wanita berumur 40 hingga 60 tahun. Sementara itu, kanser pankreas berlaku pada tisu pankreas iaitu organ yang terletak secara mendatar di bahagian bawah belakang perut. Pankreas melepaskan enzim yang membantu pencernaan dan hormon untuk menguruskan tahap gula dalam darah.
Pakar Perunding Gastroenterologi dan Hepatologi Pusat Perubatan Sunway, Dr Sheikh Anwar Abdullah berkata kanser pankreas boleh merebak dengan cepat ke organ berdekatan yang lain jika tidak dikesan lebih awal.
“Tetapi kini tumor kanser atau pra-kanser dalam pankreas dan esofagus boleh dikesan lebih awal menggunakan teknologi ultrasound endoskopik (EUS), iaitu gabungan endoskopi dan ultrasound.
"Ia mampu menunjukkan imej dan maklumat daripada saluran penghadaman dan tisu serta organ di sekelilingnya menggunakan gelombang bunyi frekuensi tinggi serta imej organ dan struktur dalam badan lain seperti pundi kencing dan hati," katanya.
Melalui EUS, doktor boleh mengesan punca sebenar sakit di bahagian abdomen atau menentukan peringkat sesuatu penyakit.
Semasa prosedur, peranti ultrasound kecil diletakkan di hujung endoskop berbentuk tiub elastik yang dilengkapi dengan kamera. Ia kemudiannya dimasukkan melalui mulut ke bahagian atas saluran penghadaman selepas pesakit dibius untuk mendapatkan imej organ yang berkualiti tinggi.
Dr Sheikh berkata sebelum ini kanser hanya boleh dikesan melalui imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI) tetapi sel-sel kanser yang terdapat pada lapisan organ tidak dapat dilihat dengan tepat.
EUS boleh melihat tumor dalam lapisan usus dengan jelas yang seterusnya memberikan peringkat tahap kanser yang perlu ditentukan dengan lebih tepat untuk rawatan selanjutnya.
EUS juga boleh digunakan untuk mengambil sampel tisu di kawasan yang terjejas tanpa perlu menjalani pembedahan, menilai tahap penyakit pankreas, mengenal pasti masalah pada pundi hempedu dan saluran pundi hempedu, atau mengenal pasti tumor di dinding usus.
“Melalui paparan imej dan sampel tisu, doktor boleh merancang jenis rawatan sama ada pesakit hanya perlu menjalani kemoterapi atau pembedahan penyingkiran sel kanser.
“EUS juga boleh digunakan untuk tujuan terapeutik seperti neurolisis pleksus seliak (organ saraf di abdomen), penyingkiran cecair dari pankreas (saliran pseudocyst) dan prosedur ablasi radiofrequency untuk mengurangkan kesakitan dan pertumbuhan pankreas bukan kanser (lesi pankreas jinak).
"Prosedur ini dijalankan dalam masa 30 minit dan meningkatkan peluang pemulihan melalui rawatan yang lebih tepat," kata Dr Sheikh.
Sumber: Berita Harian
Kembali

