Darah Sebagai Penyelamat Nyawa Penting bagi Pesakit Gangguan Darah dan Kanser

17 July 2023

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Derma darah amat penting untuk mengekalkan kehidupan manusia, terutamanya bagi mereka yang dilahirkan dengan gangguan darah keturunan atau menghidap kanser darah di mana sumsum tulang mereka tidak dapat menghasilkan semula sel darah yang sihat secara semula jadi untuk fungsi badan.

Pusat Perubatan Sunway, Pakar Perunding Hematologi dan Doktor Pemindahan Bandar Sunway,  Dr Ho Kim Wah berkata pemindahan darah adalah perlu untuk mengekalkan fungsi organ, pertumbuhan, kesejahteraan umum dan seterusnya, menyokong kehidupan pesakit tersebut.

“Pelbagai penyakit hematologi memerlukan pemindahan darah yang berterusan, seperti pesakit leukemia akut yang menunjukkan sitopenia (tahap sel darah merah atau putih atau platelet yang rendah) dan leukemia akut atau limfoma yang mengalami anemia (tidak mempunyai sel darah merah yang sihat dan mencukupi).

"Turut memerlukan pesakit yang menghidap trombosiopenia (kekurangan platelet dalam darah yang menyebabkan pendarahan ke dalam tisu, lebam dan pembekuan darah yang perlahan selepas kecederaan) akibat rawatan seperti kemoterapi, serta mereka yang menghidap gangguan kronik yang melibatkan hemoglobinopati seperti Talasemia major," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata walaupun negara telah menyaksikan trend penurunan dalam penderma darah baharu sebahagiannya disebabkan oleh pandemik COVID-19 yang melanda negara pada tahun 2020 dan 2021, terdapat sedikit peningkatan pada tahun 2022 dengan 120,929 penderma baharu berbanding 96,702 penderma pada tahun 2021 dan 115,606 pada tahun 2020, manakala enam bulan lalu tahun 2023 telah menyaksikan kemajuan yang memberangsangkan dengan 59,244 penderma setakat ini.

Walau bagaimanapun, Dr Ho berpendapat bahawa bekalan darah yang rendah akan mengakibatkan rawatan darah yang tidak optimum untuk pesakit hematologi yang menandakan hasil yang buruk untuk kesihatan mereka dan dalam situasi yang serius, malah boleh menyebabkan kematian.

"Mereka mungkin mengalami fungsi organ yang terjejas, pertumbuhan yang lemah dan komplikasi daripada hematopoiesis ekstramedulari (pembentukan dan pengaktifan sel darah di luar sumsum tulang sebagai tindak balas kepada tekanan hematopoietik (pembentukan darah)) serta kualiti hidup yang buruk," katanya.

Dr Ho berkata banyak mitos dan pantang larang seputar tindakan menderma darah dan pemindahan darah juga mungkin menghalang rawatan penting yang menyelamatkan nyawa.

“Contohnya, idea pendermaan darah yang mengurangkan jangka hayat seseorang, mendapat jangkitan semasa pendermaan darah atau merosakkan organ dalaman seseorang, kepada salah faham yang lebih halus seperti bank darah mempunyai darah yang lebih daripada mencukupi atau darah yang didermakan dibuang oleh pihak berkuasa jika ia tidak digunakan dengan segera.

"Andaian ini boleh mengancam nyawa pesakit yang benar-benar memerlukan pendermaan darah dan jika tidak dihilangkan, ia boleh membawa kepada situasi perubatan yang kritikal. Akhirnya, ingatlah, satu beg darah yang didermakan akan menyelamatkan tiga nyawa. Ambil pendirian dan selamatkan satu nyawa hari ini," beliau mengingatkan.

Dr Ho memberi jaminan bahawa risiko menderma darah secara amnya agak minimum selagi penderma memenuhi kelayakan untuk menjadi penderma darah, seperti memenuhi kriteria umur, tidak berpuasa, mempunyai berat badan yang ideal, kesejahteraan fizikal dan mental serta tidur yang cukup sebelum menderma, antara piawaian lain.

"Selepas menderma, penderma sentiasa dinasihatkan untuk berehat sekurang-kurangnya 10 minit dan menikmati sedikit minuman ringan serta minum banyak air kerana penggantian cecair selepas menderma darah adalah penting.

"Penderma juga diminta untuk mengelakkan aktiviti berat dalam tempoh 24 jam pertama selepas menderma darah bagi mengelakkan pengsan yang tidak dapat diramalkan," katanya.

Beliau menambah bahawa pemindahan darah pada masa kini diketahui sebagai prosedur yang selamat tetapi bergantung pada setiap individu, mungkin terdapat risiko kecil tertentu yang berkaitan, iaitu reaksi alahan dan reaksi transfusi demam bukan hemolitik (demam atau menggigil yang berlaku selepas transfusi), antara kes-kes lain yang sangat jarang berlaku.

"Walau apa pun, jika pesakit mengalami simptom seperti demam, menggigil, sakit dada, berpeluh, kegatalan, sesak nafas atau sebarang rasa tidak selesa, mereka atau penjaga mereka harus melaporkannya kepada jururawat atau doktor dengan segera," beliau menasihati.

Sumber: BERNAMA

   Kembali