Sentiasa Berwaspada Terhadap Omicron
28 February 2022

Jika anda menghabiskan hujung minggu di destinasi pelancongan seperti pantai, anda dapat melihat bahawa ramai yang semakin tidak menyedari ancaman virus COVID-19.
Ramai yang sanggup beratur untuk terjun ke dalam kolam, walaupun hanya boleh berendam seketika tanpa dapat berenang dengan bebas.
Semuanya kerana memandang rendah varian Omicron yang dikatakan kurang berbahaya berbanding Delta tetapi lebih mudah berjangkit terutamanya di tengah-tengah orang ramai.
Pakar Perubatan Dalaman, Pusat Perubatan Sunway, Dr Ericson Chia Kwan Min berkata Omicron dan Delta adalah varian virus SARS-CoV2.
Perbezaan antara kedua-dua varian ini ialah Omicron boleh membiak lebih cepat (70 kali lebih pantas) daripada Delta, mempunyai tempoh inkubasi yang lebih pendek (purata tiga hari) dan menjangkiti lebih sedikit di dalam paru-paru.
"Delta masih ada, tetapi Omicron lebih dominan. Di hospital, masih terdapat kes serius, yang disyaki disebabkan oleh varian Delta," katanya.
Kajian menunjukkan kadar kemasukan ke hospital dan kematian akibat Omicron adalah kurang berbanding Delta dalam kalangan individu yang telah melengkapkan vaksinasi mereka.
Omicron mungkin tidak seganas Delta tetapi ia masih boleh menjadi ancaman kesihatan terutamanya jika seseorang individu tidak divaksin atau mempunyai vaksin yang tidak lengkap termasuk dos penggalak.
"Statistik Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan bahawa majoriti pesakit yang dijangkiti COVID-19 perlu dimasukkan ke hospital dan mereka yang menerima rawatan Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah antara mereka yang tidak menerima atau mempunyai vaksin yang tidak lengkap termasuk suntikan penggalak," katanya.
Risiko tinggi untuk dijangkiti COVID berpanjangan
Memandang rendah terhadap Omicron meletakkan seseorang individu dalam risiko penyakit berjangka waktu berbulan-bulan atau bertahun-tahun yang dikenali sebagai COVID berpanjangan yang ditakrifkan sebagai simptom dan tanda, semasa dan selepas dijangkiti virus COVID-19 melebihi 12 minggu dan tidak boleh dikaitkan dengan diagnosis alternatif.
Simptom
- Batuk
- Kesukaran bernafas
- Masalah psikologi seperti kemurungan
- Kehilangan deria rasa atau bau
- Sakit dada
- Jantung berdegup kencang
- Sakit sendi atau tulang
- Ruam dan cirit-birit
Kajian menunjukkan kebanyakan kes positif akan bertukar menjadi negatif dalam tempoh 10 hari dan risiko menjangkiti orang lain juga sangat rendah.
Walau bagaimanapun, dalam kalangan individu yang tidak menerima vaksin, mempunyai vaksin yang tidak lengkap, tidak menerima dos penggalak atau mempunyai sistem imun yang rendah disebabkan oleh faktor usia serta penyakit lain seperti kanser, tempohnya adalah lebih lama.
"Terdapat laporan kes individu yang masih positif selepas 10 bulan di mana pesakit mempunyai sejarah kanser darah," kata Dr Chia
Bagi mereka yang dijangkiti & positif:
- Ikuti tempoh kuarantin dan laporkan status kesihatan anda melalui MySejahtera
- Tinggal di bilik yang berasingan. Pastikan pengudaraan yang baik
- Jika perlu keluar dari bilik, pakailah pelitup muka sepanjang masa
- Basuh tangan anda dengan kerap dan amalkan etika batuk atau bersin yang betul
- Jangan berkongsi makanan atau minuman dan barang peribadi dengan orang lain
- Hubungi Pusat Penilaian COVID (CAC) jika simptom bertambah buruk atau ke hospital berdekatan dengan segera
- Makan makanan yang seimbang
- Elakkan merokok dan sentiasa berfikiran positif
Pesakit yang masih positif dan telah selesai tempoh kuarantin, tetapi tidak menunjukkan sebarang gejala masih boleh melakukan aktiviti harian seperti bekerja dari rumah dan melakukan senaman ringan.
"Bagi mereka yang bergejala atau baru pulih, rehat adalah disyorkan. Kebarangkalian menjangkiti orang lain adalah rendah selepas 10 hari. Teruskan mengamalkan gaya hidup sihat termasuk pemakanan seimbang, bersenam, tidak merokok dan melengkapkan dos vaksinasi termasuk suntikan penggalak," kata Dr Chia.
Keberkesanan Penggalak
Selepas menerima suntikan penggalak, keberkesanan vaksin akan kembali ke kadar yang lebih tinggi (melebihi 90%). Kajian menunjukkan bahawa adalah penting untuk menerima suntikan penggalak bagi meningkatkan tahap antibodi dalam badan bagi mengelakkan jangkitan Omicron.
Kadar keberkesanan untuk vaksin Pfizer menurun daripada 89% kepada 68% manakala untuk vaksin Sinovac, terdapat penurunan daripada 78% kepada 28% dalam tempoh tiga hingga lima bulan selepas menerima dua dos vaksin.
Adakah lebih banyak jangkitan bermakna lebih banyak varian baharu dihasilkan?
Ramai yang tidak mengetahui hakikat bahawa kadar jangkitan yang tinggi memberi peluang kepada virus untuk bermutasi dan tiada jaminan sama ada akan ada varian COVID-19 baharu yang lebih jinak daripada varian sebelumnya.
Sejak Omicron ditemui di Afrika Selatan, ia telah tersebar ke seluruh dunia lebih cepat daripada Alpha dan Delta.
Saintis telah mengesan Omicron di lebih 120 buah negara tetapi asal usulnya masih dipersoalkan dan ia tidak mempunyai kaitan yang jelas dengan varian Alpha dan Delta.
Omicron boleh membantu saintis memahami risiko kemunculan varian baharu dan mencadangkan cara untuk mengurangkan kesannya.
Sumber: Utusan Malaysia
Kembali

