Rawatan Lanjutan dalam Pulmonologi Intervensi
16 May 2020

Pulmonologi intervensi merupakan bidang yang agak baharu dalam dunia perubatan. Ia merupakan salah satu bidang kepakaran dalam bidang pernafasan, manakala pulmonologi merupakan salah satu pengkhususan dalam bidang perubatan dalaman. Pulmonologi intervensi sangat membantu pesakit yang mengalami masalah pernafasan akut, terutamanya bagi mereka yang tidak digalakkan atau tidak dapat menjalani pembedahan.
“Pulmonologi intervensi menyediakan kaedah rawatan paling canggih untuk pesakit yang mengalami masalah paru-paru, pernafasan dan toraks menggunakan prosedur diagnostik dan terapeutik invasif minimum terkini. Risiko dan komplikasi kepada pesakit berkurangan kerana ia tidak melibatkan pembedahan besar,” kata Dr Rosmadi Ismail, Pakar Perunding Pulmonologi Intervensi, Pusat Perubatan Sunway.
Contohnya, pesakit yang tercekik atau menelan objek asing yang besar di tekak, yang tidak boleh dikeluarkan melalui prosedur bronkoskopi biasa, perlu menjalani prosedur pembedahan yang rumit sebelum ini untuk membuang objek asing tersebut.
Kini, dengan prosedur pulmonologi intervensi, pesakit tidak perlu menjalani pembedahan yang rumit untuk membuangnya. Sebaliknya, objek asing boleh dikeluarkan dengan mudah dan dalam masa yang singkat melalui prosedur yang terlibat dalam pulmonologi intervensi.
Selain itu, bagi pesakit kanser paru-paru Tahap 4, bidang baharu ini memberi mereka peluang pemulihan yang lebih baik. Mereka yang mengalami penyempitan saluran pernafasan utama boleh dibantu melalui penggunaan bronkoskopi, dilatasi dan saliran stent oleh pakar pulmonologi intervensi. Pesakit tidak perlu menjalani prosedur pembedahan yang biasanya tidak mungkin dilakukan memandangkan keadaan pesakit yang serius dan tidak stabil.
Pakar pulmonologi intervensi ialah pakar pulmonologi yang telah menjalani latihan tambahan, khususnya di bawah penyeliaan langsung pakar pulmonologi intervensi kanan. Sementara itu, pakar pulmonologi ialah pakar yang merawat pesakit yang mengalami masalah pernafasan, dan pakar pernafasan ialah mereka yang mempunyai latihan tambahan selepas menjadi pakar perubatan dalaman.
Satu laporan tahunan oleh Kementerian Kesihatan mendedahkan bahawa pesakit yang mengalami masalah pernafasan menyumbang kepada penyebab kedua tertinggi kemasukan ke hospital kerajaan.
"Merokok adalah punca utama masalah ini. Merokok meningkatkan risiko menghidap keradangan paru-paru jangka pendek seperti bronkitis, jangkitan kuman dan serangan asma akut dan dalam jangka masa panjang, penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD), bronkitis kronik dan kanser paru-paru," tegas Dr Rosmadi.
Beliau menambah bahawa simptom-simptom yang berkaitan dengan penyakit pernafasan adalah sangat serupa dan tidak khusus untuk mana-mana satu jenis penyakit. Simptom-simptom biasa termasuk batuk kering atau batuk berkahak, kesukaran bernafas, keletihan, sakit tekak dan sakit dada ketika batuk. Apabila keadaan pesakit bertambah buruk, mereka mungkin batuk darah, kurang selera makan dan mula menurunkan berat badan dengan ketara.
Kanser paru-paru boleh dikesan menggunakan imbasan CT dos rendah, yang boleh dilakukan ke atas perokok atau bekas perokok, serta mereka yang berumur antara 55 dan 80 tahun. Ini adalah ujian saringan terbaik untuk kanser paru-paru.
"Pesakit kanser paru-paru mempunyai peluang pemulihan yang lebih tinggi jika dikesan lebih awal tetapi malangnya, kanser paru-paru mempunyai kadar kematian yang tinggi kerana ia sering dikesan terlalu lewat," kata Dr Rosmadi.
Pada masa ini, pembedahan untuk membuang bahagian paru-paru yang kanser adalah satu-satunya rawatan untuk menyembuhkan penyakit ini. Ini memberikan peluang terbaik untuk pesakit bertahan lebih lama.
"Gabungan kaedah rawatan menggunakan kemoterapi, radioterapi dan pembedahan mungkin diperlukan jika kanser dikesan pada peringkat kemudian atau jika pesakit berada di peringkat lanjut. Apabila pesakit berada di peringkat ini, kadar pemulihan adalah sangat rendah," kata Dr Rosmadi.
Sumber: Berita Harian
Kembali

