Ujian fungsi paru-paru penuh merupakan ujian diagnostik yang digunakan oleh doktor untuk mengukur sejauh mana paru-paru pesakit berfungsi. Biasanya, doktor akan mengarahkan ujian ini dilakukan untuk:

  • Mendiagnosis jenis penyakit paru-paru tertentu (seperti asma, bronkitis, dan emfisema)
  • Menilai tahap keterukan penyakit paru-paru
  • Menilai kesan ubat
  • Menilai kemajuan rawatan
  • Menguji fungsi paru-paru sebelum pembedahan
  • Mengkaji punca sesak nafas

Ujian fungsi paru-paru dibahagikan kepada tiga jenis ujian:

  • Spirometri, dengan atau tanpa bronkodilator
  • Difusi Karbon Dioksida Paru-paru (DLCO)
  • Pletismografi badan (isipadu paru-paru)

Spirometri merupakan ujian fungsi paru-paru yang pertama dan paling biasa dilakukan. Ia mengukur berapa banyak dan seberapa cepat pesakit boleh mengeluarkan udara dari paru-paru. Ujian ini memerlukan pesakit bernafas melalui corong mulut yang dipasang pada alat rakaman (spirometer).

DLCO dikenali sebagai ujian resapan gas. Ujian ini mengukur jumlah oksigen dan gas lain yang melintasi kantung udara paru-paru untuk menilai sejauh mana gas diserap ke dalam badan dari paru-paru.

Pletismografi badan boleh digunakan untuk mengukur kapasiti keseluruhan paru-paru (isipadu maksimum udara yang boleh ditampung oleh paru-paru) atau isipadu baki udara yang tinggal di dalam paru-paru selepas pesakit menghembus nafas sepenuhnya.

 

Perkhidmatan & Prosedur yang ditawarkan

Ujian fungsi paru-paru dilakukan oleh ahli terapi pernafasan atau juruteknik yang terlatih khas. Ujian mungkin mengambil masa kira-kira 15 hingga 30 minit, bergantung pada berapa banyak ujian yang dilakukan. Ujian fungsi paru-paru tidak menimbulkan risiko kepada orang yang sihat. Walau bagaimanapun, jika anda mempunyai sebarang kebimbangan atau masalah jantung dan paru-paru yang serius, sila berunding dengan doktor anda mengenai risiko yang mungkin anda hadapi. Sebelum ujian dijalankan:

  • Jangan makan makanan berat dan elakkan kafein
  • Elakkan senaman yang kuat
  • Jangan merokok sekurang-kurangnya 4 – 6 jam

Anda mungkin mendapat arahan khusus jika anda perlu berhenti menggunakan bronkodilator atau ubat inhaler. Anda mungkin perlu menyedut ubat sebelum atau semasa ujian. Pakai pakaian longgar yang tidak akan menyekat pernafasan anda. Sila maklumkan kepada doktor anda jika anda mengalami sebarang sakit dada atau serangan jantung baru-baru ini. Selain itu, beritahu doktor anda jika anda sedang mengambil ubat untuk komplikasi paru-paru, mempunyai sebarang alahan atau baru-baru ini menjalani pembedahan supaya dia boleh menentukan ujian yang paling sesuai dengan keperluan anda.