Memahami Stenosis Aorta: Penyakit Injap Jantung yang Serius dengan Pembetulan Invasif Minimum

02 July 2026

Dato’ Dr Yap Yee Guan

Ramai orang menganggap bahawa pergerakan yang menjadi perlahan, mudah sesak nafas, atau kerap berasa letih adalah sebahagian daripada proses penuaan. Walaupun ini mungkin benar bagi sesetengah orang, gejala ini juga boleh menjadi tanda stenosis aorta, iaitu penyakit injap jantung yang serius dan boleh mengancam nyawa jika tidak dirawat.

Berita baiknya, diagnosis awal dan rawatan tepat pada masanya boleh meningkatkan hasil rawatan dengan ketara. Dato' Dr Yap Yee Guan, Pakar Perunding Kardiologi kami, menjelaskan perkara yang perlu anda ketahui mengenai stenosis aorta dan bagaimana rawatannya telah berkembang melangkaui pembedahan jantung terbuka konvensional, menawarkan terapi berisiko lebih rendah dan pemulihan yang lebih cepat kepada pesakit yang sesuai.

Apakah Itu Stenosis Aorta?

Injap aorta berfungsi seperti pintu sehala di antara jantung anda dan aorta, iaitu arteri utama yang membawa darah kaya oksigen ke seluruh badan anda. Setiap kali jantung anda berdegup, injap ini terbuka untuk membenarkan darah mengalir ke seluruh badan dan tertutup untuk mengelakkan darah mengalir balik —  pergerakan yang berlaku kira-kira 100,000 kali sehari

Namun begitu, dari semasa ke semasa, injap ini boleh menjadi tegang dan menyempit, selalunya disebabkan oleh pemendapan kalsium yang datang bersama proses penuaan. Apabila ini berlaku, jantung terpaksa bekerja lebih keras untuk mengepam darah melalui bukaan injap aorta yang lebih kecil. 

Dato' Dr Yap menggambarkan penyakit injap jantung ini secara ringkas seperti batu yang bertimbun pada sebuah pintu, secara beransur-ansur menyukarkan pintu itu dibuka dengan luas.

Mengenali Gejala Stenosis Aorta 

Stenosis aorta menjejaskan kira-kira 5 peratus populasi pada usia 65 tahun, dengan kelaziman yang semakin meningkat seiring bertambahnya usia. Terdapat peningkatan kelaziman stenosis aorta secara eksponen mengikut usia, iaitu 0.2 peratus dalam kumpulan usia 50 hingga 59 tahun, 1.3 peratus dalam kumpulan usia 60 hingga 69 tahun, 3.9 peratus dalam kumpulan usia 70 hingga 79 tahun, dan 9.8 peratus dalam kalangan mereka yang berusia 80 hingga 89 tahun. 

Namun begitu, ia bukan sahaja penyakit yang berlaku pada usia lanjut. Dato’ Dr Yap menegaskan bahawa stenosis aorta juga boleh berlaku pada orang dewasa pertengahan umur yang dilahirkan dengan injap aorta bikuspid, iaitu kecacatan jantung kongenital yang menjejaskan sehingga 2 peratus populasi umum. Stenosis aorta juga boleh berlaku sebagai komplikasi pada usia lanjut dalam kalangan pesakit yang pernah mengalami demam reumatik sebelum ini. 

Gejala stenosis aorta selalunya tidak disedari. Tanda-tanda amaran biasa termasuk:

  • Sesak nafas, terutamanya semasa melakukan aktiviti
  • Sakit dada 
  • Pening
  • Pengsan / hilang kesedaran
  • Keletihan luar biasa
  • Penurunan keupayaan bersenam

Jika tidak dirawat, stenosis aorta yang teruk boleh menjejaskan kualiti hidup dengan ketara dan boleh membawa maut. 

“Jika tidak dirawat, apabila pesakit dengan stenosis aorta yang teruk mula mengalami sakit dada angina, jangka hayat mereka adalah 5 tahun sahaja. Apabila mereka mula mengalami gejala pengsan, jangka hayat mereka adalah 3 tahun. Akhirnya, apabila mereka mula mengalami gejala kegagalan jantung kongestif seperti sesak nafas, jangka hayat mereka hanyalah 1 hingga 2 tahun,” kongsi Dato’ Dr Yap. 

Oleh itu, adalah amat penting untuk mendapatkan rawatan perubatan jika anda perasan gejala-gejala ini pada diri sendiri atau orang tersayang. Melalui teknologi pengimejan moden, termasuk ekokardiografi dan CT jantung, pakar kardiologi dapat menilai tahap keterukan stenosis aorta dan menentukan rawatan yang paling sesuai.

TAVI sebagai Rawatan Kurang Invasif untuk Stenosis Aorta

Secara tradisinya, rawatan stenosis aorta yang teruk melibatkan pembedahan jantung terbuka untuk menggantikan injap yang rosak, iaitu satu pendekatan yang terbukti berkesan, tetapi membawa risiko kematian, kesakitan yang ketara serta tempoh pemulihan yang panjang.

Kini, kemajuan dalam terapi injap jantung menawarkan pesakit dengan stenosis aorta yang teruk satu pilihan rawatan alternatif. Dato' Dr Yap berkongsi bahawa salah satu pilihan tersebut ialah Transcatheter Aortic Valve Implantation (TAVI), iaitu alternatif minimum invasif dan berisiko lebih rendah berbanding pembedahan jantung terbuka.

Berbanding membuka rongga dada, TAVI menghantar injap gantian baharu melalui tiub nipis yang dipanggil kateter, yang biasanya dimasukkan melalui arteri di bahagian pangkal paha. Kateter ini membimbing injap baharu tersebut naik ke jantung dan meletakkannya di dalam injap yang bermasalah. Prosedur ini biasanya mengambil masa lebih kurang 1 hingga 1.5 jam. 

TAVI

Kelebihan TAVI Berbanding Pembedahan Jantung Terbuka

Oleh kerana tiada keperluan untuk membuka rongga dada, pesakit yang menjalani prosedur TAVI bagi stenosis aorta biasanya mengalami:

  • Risiko komplikasi yang lebih rendah (seperti strok dan kematian)
  • Tempoh penginapan hospital yang lebih singkat
  • Pemulihan yang lebih pantas (berbanding pembedahan jantung terbuka)
  • Parut yang minimum 

Tempoh pemulihan jelas menunjukkan perbezaan ini. Dengan TAVI, Dato’ Dr Yap berkongsi bahawa pesakit biasanya dapat pulang ke rumah dan meneruskan kehidupan seharian selepas 1 atau 2 hari di hospital, berbanding penginapan selama seminggu selepas menjalani pembedahan jantung terbuka konvensional. 

“Malah, kebanyakan pesakit pada asasnya boleh bergerak dan melakukan segala-galanya pada keesokan harinya. Cuma tidak boleh bersenam selama sebulan,” kongsi Dato’ Dr Yap.

Di Sunway Medical Centre, Sunway City, TAVI dijalankan oleh pasukan pelbagai disiplin yang terdiri daripada jururawat, profesional kesihatan bersekutu dan pakar jantung, yang diketuai oleh Dato’ Dr Yap Yee Guan. 

Jangan Abaikan Tanda-tanda Stenosis Aorta

Stenosis aorta ialah penyakit injap jantung yang serius, tetapi ia juga boleh dirawat, terutamanya jika dikesan lebih awal. Jika anda atau orang tersayang mengalami sesak nafas, rasa tidak selesa di dada, pening, atau keletihan yang tidak dapat dijelaskan, adalah wajar untuk berjumpa pakar kardiologi sebelum terlambat. Klik di bawah untuk menetapkan temujanji rundingan dengan Dato’ Dr Yap Yee Guan hari ini.